Dongzhi dan ‘tang yuan’ erat hubungan bersama muallaf

- Advertisement -

GOPENG: Muslimat PAS Malaysia telah meraikan para muallaf dalam kalangan kaum Tionghua yang mengadakan sambutan perayaan Dongzhi pada majlis dilangsungkan di Wisma Purnama, Pengkalan Pegoh, di sini pagi kelmarin. 

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Muslimat PAS Malaysia, Salmah Abd Latif berkata, program Mesra Kasih secara borak santai itu sempena perayaan tersebut yang diraikan pada 21 atau 22 Disember, setiap kali tiba musim sejuk.

- Advertisement -

“Walaupun Malaysia tiada musim sejuk, tetapi perayaan ini tetap disambut oleh sebahagian masyarakat Cina, terutama etnik Hokkien. Keraian ini menunjukkan Islam adalah agama perdamaian, yang mementingkan keharmonian sesama insan.

“Ajaran Islam menekankan hubungan baik bukan sahaja dengan saudara seagama, malah kepada orang bukan-Islam, (hatta) ahli keluarga sendiri yang belum-Islam. Oleh itu, pihak kami telah berusaha menjayakan program ini,” terang beliau. 

Program tersebut diserikan dengan gotong-royong membuat pemanis mulut ‘tang yuan’ atau ladu bulat dalam sup manis dengan bimbingan Naib Ketua Muslimat PAS Kawasan Gopeng, Farah Foo Abdullah, sambil bertaaruf dengan para muallaf. 

Cara penyediaan dan bentuk ‘tang yuan’ ini hampir menyamai pembuatan kuah butir nako atau butir nangka iaitu sejenis kuih tradisional yang popular dalam kalangan penduduk negeri Kelantan.

Di samping itu, seluruh peserta yang hadir khususnya golongan muallaf turut berkongsi pengalaman ‘bermula’ hidayah Allah dan mengucap kalimah syahadah.

Bukan itu sahaja, malah mereka turut berpeluang bersoal jawab mengenai kemusykilan agama, diikuti tazkirah ringkas dari Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Negeri Perak, Ustazah Ana Mastura Ismail.

Seramai 20 muallaf dan asnaf zakat juga menerima sedikit sumbangan wang dan kotak makanan, manakala ‘tang yuan’ tersebut diedarkan ke rumah warga emas, Pusat Penjagaan Orang Tua Golden Apple dan Papa Mama Home berhampiran.

Turut hadir adalah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Gopeng, Zaiton Abdul, serta wakil pimpinan Muslimat PAS dari Kawasan-kawasan yang lain. – HARAKAHDAILY 21/12/2021

- Advertisement -