
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Seluruh jaringan lebuh raya bertol di Pantai Barat Semenanjung Malaysia akan menyediakan lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) mulai tahun 2022.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Arthur Joseph Kurup, berkata ini berikutan transaksi tol menggunakan teknologi RFID akan diperluaskan kepada kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) di laluan Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor di Lebuh Raya Utara-Selatan, mulai 15 Januari tahun hadapan.
Katanya, sistem kutipan tol menggunakan RFID merupakan kaedah pembayaran tol baharu yang menggunakan teknologi yang lebih maju, berbanding sistem kutipan tol secara elektronik sedia ada.
Katanya, sistem sedia ada menggunakan kad pintar tanpa sentuh bagi kad Touch N Go dan teknologi infra merah bagi Smart Tag.
“Transaksi tol RFID adalah langkah Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol. Ini bertepatan dengan keperluan dan kehendak pelanggan lebuh raya serta selari dengan perkembangan teknologi masa kini,” katanya menjawab soalan lisan Senator Aknan A/L Ehtook di Dewan Negara, hari ini.
Arthur berkata, pelaksanaan RFID juga selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar yang diterajui oleh KKR, termasuk pelaksanaan Sistem Tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong.
Sehingga Oktober lalu, katanya sebanyak 26 lebuh raya telah menyediakan kemudahan pembayaran tol menggunakan RFID, manakala jumlah pemilik kenderaan yang menggunakan kemudahan ini adalah saeramai1.35 juta orang.
Menurutnya, pengguna RFID mempunyai kemudahan untuk membuat bayaran tol melalui sistem dompet elektronik atau dikenali sebagai e-Wallet, selain pengguna boleh membuat aktiviti lain seperti tambah nilai secara dalam talian.
Selain itu, katanya, akaun e-Wallet boleh dipautkan kepada akaun kad kredit dan kad debit dari mana-mana institusi perbankan.
“KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa mencari kaedah yang terbaik untuk memberi lebih keselesaan kepada pengguna lebuh raya, termasuk mencari alternatif bagi mempelbagaikan kaedah sistem pembayaran tol,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/12/21.




















