
SYDNEY: Mangsa keenam diumumkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam insiden permainan istana angin diterbangkan ke udara di Australia minggu lalu.
Mesin sokongan hidup Chace Harrison, 11, telah dimatikan pada Ahad (19 Dis), tiga hari selepas dia dirawat di hospital Horbart akibat kecederaan dialami susulan kemalangan tersebut.
Harrison merupakan antara sembilan mangsa yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah yang jatuh dari ketinggian 10 meter (32 kaki) selepas permainan istana angin yang dinaiki mereka secara tiba-tiba terbang ke udara pada pesta pameran sekolah di Devonport, Tasmania Khamis (16 Nov) lalu, lapor CNN.
Dua mangsa masih dalam keadaan kritikal di hospital, manakala seorang lagi yang cedera telah dibenarkan keluar dari hospital pada hari Jumaat (17 Dis).
Lima lagi kanak-kanak yang kehilangan nyawa ialah Addison Stewart, 11, serta Zane Mellor, Jye Sheehan, Jalailah Jayne-Maree Jones dan Peter Dodt yang kesemuanya berusia 12 tahun.
Pihak polis Australia berkata, masih belum jelas bagaimana kejadian itu berlaku dan siasatan masih dilakukan termasuk dalam aspek prosedur keselamatan istana angin berkenaan terutama sama ada ia ditambat pada tanah atau berlaku kecuaian pihak penganjur pesta pameran sekolah berkenaan.
“Kami tidak mahu tergesa-gesa, tetapi kami juga memahami bahawa masyarakat mahukan jawapan,” ujar Pesuruhjaya Polis Tasmania, Darren Hine.

Pegawai penyiasat dari New South Wales akan pergi ke Tasmania pada minggu ini untuk membantu menjalankan soal siasat dengan beberapa orang saksi kejadian sebagai sebahagian daripada siasatan.
Menurut pihak polis, kira-kira 40 kanak-kanak serta guru dan orang dewasa lain di pesta sekolah berkenaan yang berlangsung pada hari terakhir penggal persekolahan.
“Apa yang paling penting, kita tidak mendahului apa-apa keputusan sehingga semua bukti dikumpulkan dan siasatan selesai,” tegas Hine.
Tragedi itu telah mengemparkan Devonport, sebuah bandar kecil dengan kurang daripada 30,000 penduduk dan mengejutkan rakyat di seluruh Australia. – HARAKAHDAILY 20/12/21




















