RUU pindaan Akta 342 ditangguh ke sesi akan datang

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 ditangguhkan ke sesi Dewan Rakyat akan datang.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata keputusan itu dibuat hasil kesepakatan bipartisan dan berlandaskan semangat memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang.

- Advertisement -

Menurutnya, penangguhan itu juga mengambil kira bencana banjir di Lembah Klang dan beberapa negeri lain yang masih meruncing sehingga menjejaskan kehidupan harian rakyat ketika ini.

Katanya, perkara ini juga dibincangkan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi, Kelvin Yii, bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, dan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“RUU pindaan Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit), sangat penting untuk kita dapat penerimaan dan pematuhan rakyat kerana ia bukan sekadar langkah kesihatan awam yang diperlukan untuk tangani kes COVID-19 saja.

“Sebaliknya, ia turut membabitkan usaha membendung penyakit berjangkit. Justeru, saya sudah bentang semua butiran pindaan kepada jawatankuasa pilihan khas dan mendengar pandangan kumpulan pakar,” katanya pada sidang tambahan Dewan Rakyat, hari ini.

Sidang tambahan Dewan Rakyat pagi tadi, ditempohkan selama 15 minit oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, bagi memberi laluan kepada proses libat urus RUU pindaan Akta 342.

Khairy berkata, mereka membuat keputusan sebulat suara untuk menangguhkan pindaan itu bukan kerana tidak disokong pada dasar kerana sebahagian besar sudah dipersetujui, tetapi kerana ada butiran yang perlu dipersetujui bersama.

Sehubungan itu, katanya bacaan kali kedua dan ketiga RUU pindaan Akta 342 akan dilakukan pada sidang Dewan Rakyat seterusnya yang ketika ini butirannya belum ditentukan.

Katanya, Kementerian Kesihatan memang berhasrat untuk membawa semula pindaan akta itu, namun ini memerlukan aspek pematuhan dalam kalangan rakyat yang hanya boleh dicapai menerusi kepercayaan dan kemampuan terhadap peruntukan terbabit.

“Saya setuju dengan cadangan Bandar Kuching (Kelvin Yii), dulu kita tidak terbitkan, mungkin itu kekhilafan. Maka kita akan terbitkan garis panduan yang jelas (sebelum pembentangan semula kelak).

“Kita akan terbitkan garis panduan, apa kesalahan, kompaun, nilai dan sebagainya supaya lebih jelas apabila dibuat pindaan serta mendapat sokongan bipartisan.

“Yang penting, pematuhan kerana untuk krisis kesihatan awam ia bukan hanya membabitkan tindakan punitif, tetapi kawalan kesihatan awam yang sangat penting. Justeru, saya akan bawa semula kepada jawatankuasa pilihan khas sebelum dikemukakan kepada majlis,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/12/21

- Advertisement -