PAS konsisten terus agenda kebajikan di Beting Maro

- Advertisement -

BATANG LUPAR: Biarpun majoriti pengundi di Beting Maro masih mengekalkan Razaili Gapir pada pilihan raya negeri Sabtu lepas, namun ia tidak menghalang Arif Paijo meneruskan khidmat.

Razaili dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang dengan majoriti 1,711 mengatasi Arif Paijo dari PAS.

Namun, tiga lagi calon lain iaitu Abang Zulkifli Abang Engkeh dari PKR, Safiudin Matsah (Bebas) dan Jacky Chiew Su Chee (Parti Bumi Kenyalang hilang wang pertaruhan.

Arif berkata, beliau tetap meneruskan gerak kerja bagi membantu penduduk miskin di Dun Beting Maro.

- Advertisement -

“Saya sempat menziarahi Kak Julia di Kampung Hilir Pusa untuk meninjau dan berbincang tentang bantuan yang akan PAS Beting Maro beri bersama NGO Pertubuhan Fitrah Ummah,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Menurutnya rumah penduduk terbabit perlu dibaiki terutamanya tandas dan lantai yang begitu usang untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Beliau yang juga Setiausaha PAS Sarawak berkata, PAS Beting Maro tetap meneruskan gerak kerja di Dun Beting Maro terutamanya menjaga kebajikan dan keperluan rakyat.

“Sungguhpun kamek belum terpilih sebagai wakil rakyat di situk. Rakyat Dun Beting Maro telah memilih.

“Kamek mengambil peluang untuk mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan pengundi, jentera yang bertungkus lumus dan seluruh penduduk Dun Beting Maro.

“Kamek jujurnya sangat rindok sepanjang berkempen di situk. Keramahan penduduknya dan sangat menghargai tetamu yang datang ke rumah,” ujarnya.

Menurutnya PAS akan konsisten meneruskan agenda kebajikan di Dun Beting Maro.

Kata beliau segala aktiviti bersama penduduk akan terus berlangsung seperti biasa. – HARAKAHDAILY 20/12/2021

- Advertisement -