Jangkitan virus JE di Kedah terkawal

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

BALING: Jangkitan virus Japanese Encephalitis (JE) di Kedah masih berada dalam terkawal dan setakat ini tiada penambahan kes baharu.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, sebelum ini kes tersebut melibatkan tiga kematian iaitu di Alor Setar dan seorang di Pendang akibat virus berkenaan. 

- Advertisement -

“Ketika ini, kes jangkitan JE terkawal dan tiada tambahan kes selepas tiga kematian sebelum ini. Kita juga melakukan tangkapan burung hijrah yang disyaki menjadi punca virus tersebut. 

“Setakat ini, ia  masih di peringkat kajian dan keputusan belum diperolehi,” katanya pada sidang media sempena program gotong royong perdana pasca banjir di Surau Kampung Bukit, Kupang, semalam. 

Beliau juga berkata, kes Covid-19 di Kedah sekarang antara 300 hingga 400 sehari yang mana kebanyakannya jangkitan adalah pada tahap satu dan dua. 

Menurutnya lagi, kes terbaharu baru-baru ini melibat 30 pelajar lelaki Maktab Mahmud Sik (Kluster Dah Pelangi) berjaya dikawal dan tiada berlaku penambahan kes

“Begitu juga kes Covid-19 di kilang Inakom, Kulim terkawal. Seorang pekerja kilang terbabit yang dimasukkan ke hospital kini telah dibenarkan keluar,” tambah beliau.

Sementara itu beliau juga berkata,  pembinaan Hospital Pendang sekarang mencapai 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2022. 

“Hanya tinggal beberapa komponen lagi termasuk jalan dan longkang yang belum dibina memandangkan proses pengambilan tanah dalam tindakan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Pembinaan bangunan hospital  pula sudah hampir 90  peratus siap termasuk kawasannya pun sudah siap diturap dengan tar,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 13/12/2021

- Advertisement -