
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Lebih 4,000 unit pelbagai projek hartanah ditawarkan pada Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) peringkat negeri Kelantan yang boleh menjadi rebutan rakyat negeri itu.
Antaranya rumah jenis banglow, teres, semi-D, kondominium, hartanah mewah dan unit-unit komersial.
MAPEX kali ke-22 diadakan bermula hari ini sehingga Sabtu bertempat di Centre Atrian KB Mall dibuka jam 10 pagi hingga 10 malam.
Pengerusi MAPEX Kelantan, Dato’ Samsuri Awang Mat berkata, pada pameran berkenaan bakal pembeli akan mendapat pelbagai maklumat daripada pemaju dan diskaun tertentu.
Pameran itu disertai pemaju perumahan berlesen termasuk Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Berhad, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), PR1MA Berhad.
Selain itu Binaraya PKINK Sdn Bhd, SBJ Binajaya Sdn Bhd, Pingat Harmoni Sdn Bhd, AK Land Sdn Bhd, Ambar Mas Sdn Bhd, Anggun Armada Holdings Sdn Bhd, BBGM Wangsa Development Sdn Bhd, Briefdell Development Sdn Bhd dan Sensatimur Sdn Bhd.
“Agensi kerajaan yang terlibat dalam industri perumahan dan kewangan seperti Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
“Ekspo ini adalah salah satu aktiviti pameran perumahan yang dijalankan di seluruh negara oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA),” katanya di sini hari ini.
Menurutnya juga sambutan peserta pada pameran tahun lepas sangat menggalakkan.
Malah kata beliau institusi kewangan turut menyediakan kemudahan pinjaman antaranya Bank Simpanan Nasional, Bank Islam Malaysia dan Bank Muamalat dan juga agen hartanah Legacy Real Estate.
“Kehadiran institusi kewangan terbabit bertujuan memberi kemudahan kepada bakal pembeli rumah untuk membuat urusan di bawah satu bumbung,” ujarnya.
Kata Samsuri bakal pembeli dan pengunjung boleh mendapat khidmat nasihat mengenai pinjaman dan menguruskan kewangan dan agensi-agensi yang berkaitan.
Menurutnya juga pameran tersebut mendapat sokongan kerajaan negeri yang memberi pelbagai keistimewaan untuk rakyat yang berminat membeli rumah.
“Kerajaan negeri bersetuju memberikan insentif khas terutamanya kepada pembeli yang pertama kali membeli rumah dengan pengecualian bayaran pindah milik.
“Selain itu pengecualian bayaran gadaian untuk projek-projek Rumah Mampu Milik,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 9/12/2021




















