Hidupkan semula HSR KL-Singapura masih perbincangan peringkat awal

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kemungkinan untuk menghidupkan semula projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura masih dalam perbincangan peringkat awal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Seri Mustapa Mohamed, berkata apabila perjanjian dua hala mengenai projek HSR Kuala Lumpur – Singapura terbatal pada 31 Disember tahun lalu, kerajaan memutuskan supaya kajian daya maju projek HSR Kuala Lumpur – Iskandar Puteri dilaksanakan.

- Advertisement -

Katanya, kajian yang bermula pada Februari lalu telah selesai dan hasil kajian akan dibentangkan kepada Kabinet sedikit masa lagi untuk menentukan hala tuju cadangan projek ini.

Sementara itu, katanya dalam pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia dan Singapura pada 29 November lalu, cadangan untuk merunding semula projek HSR antara Kuala Lumpur – Singapura telah dibangkitkan.

“Dalam responnya, Perdana Menteri Singapura terbuka untuk menerima cadangan baharu Malaysia untuk projek HSR ini,” katanya menjawab soalan Lim Guang Eng (PH-Bagan) ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Guan Eng meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada projek HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru akan dibatalkan untuk diganti dengan cadangan memulihkan HSR KL-Singapura serta anggaran kos kedua-dua projek dan sama ada rundingan dengan Singapura dapat memastikan harga asal sebanyak RM100 bilion boleh dikurangkan kepada RM50 bilion.

Mustapa berkata, tidak berbangkit sama ada kos HSR dapat dikurangkan kepada RM50 bilion kerana masih di peringkat perbincangan awal.

Menurutnya, mengikut anggaran yang dibuat oleh Malaysia, di bawah model yang dicadangkan iaitu HSR 2.0 (baharu), kos projek adalah jauh lebih rendah berbanding kos cadangan HSR 1.0 atau HSR 2.0.

Katanya, antara struktur model dalam cadangan HSR 1.0 dan 2.0 ialah menubuhkan sebuah Assetco, iaitu sebuah syarikat milik pihak swasta dan dikawal selia bersama oleh Kerajaan Malaysia dan Singapura.

“Assetco berfungsi sebagai pemilik sistem dan aset keretapi yang bertanggungjawab untuk membina, membiayai, dan menyelenggara sistem dan aset keretapi, serta melaksanakan perolehan dan penyelenggaraan stokereta.

“Di bawah model HSR 2.0 (baharu) yang dikemukakan kepada Singapura, Malaysia mencadangkan supaya AssetCo dimansuhkan. Namun, cadangan ini tidak dipersetujui oleh Singapura. Oleh itu, perjanjian bilateral yang ditandatangani pada 13 Disember 2016 telah terbatal,” katanya.

Mustapa juga memaklumkan bahawa sejak 2013, semua rundingan mengenai projek HSR diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Bagaimanapun pada pertengahan tahun lalu, katanya Kabinet memutuskan supaya saya mengetuai rundingan untuk memuktamadkan projek ini dengan Singapura,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan dalam proses memindahkan syarikat MyHSR, iaitu syarikat bertujuan khas yang bertanggungjawab merundingkan hal-hal teknikal mengenai projek HSR daripada pengawasan JPM kepada Kementerian Pengangkutan.

Oleh itu, katanya semua perbincangan dan rundingan seterusnya mengenai hala tuju projek ini akan dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan. – HARAKAHDAILY 9/12/21

- Advertisement -