
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian bantuan sara hidup kepada veteran anggota tentera yang berhenti awal dan tidak berpencen.
Katanya, golongan ini juga pernah memegang senjata dan menyertai operasi atau bertempur dengan pengganas Komunis, malah terdapat yang perkhidmatan mereka kepada negara mencecah hampir 20 tahun.
“Walaupun tidak berpencen, perkhidmatan mereka bukan setahun dua, ada yang mencecah hingga 18 tahun.
“Mohon kerajaan pertimbangkan kepada golongan veteran ini untuk menerima bantuan sara hidup secara bulanan mengikut kelayakan perkhidmatan dan pangkat ketika berhenti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sabri juga meminta kerajaan mempertimbangkan untuk melupuskan Peraturan 49(l) Akta Tentera dan Tentera Udara 1961 apabiila anggota tentera yang dikenakan tindakan tatatertib apabila berhenti tidak mendapat sebarang kemudahan seperti rawatan di hospital, bantuan sara hidup dan bantuan pendidikan anak-anak.
“Mereka juga perlu diberikan wang sagu hati secara bulanan atau one-off kerana ada yang pernah berjasa seperti bertempur dengan pengganas Komunis, selain ada yang tempoh perkhidmatan melebihi 10 tahun,” katanya.
Menurut Sabri, golongan ini yang melakukan kesalahan tatatertib seperti tidak hadir tanpa cuti dan melawan pegawai juga telah menerima hukuman sebelum diberhentikan.
Beliau berpendapat ketiadaan wang saguhati secara bulanan atau one-off adalah suatu tindakan yang tidak adil. – HARAKAHDAILY 9/12/2021




















