
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Aspek sumber manusia Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat perhatian utama Ahli Parlimen Dungun yang menggesa penambaikan dilakukan untuk menjaga kebajikan kakitangan.
Wan Hassan Mohd Ramli berkata, ini termasuk Unit Jurupulih Perubatan Fisioterapi di hospital yang memerlukan pertambahan jawatan yang sangat kritikal.
Katanya, ketika ini kakitangan unit berkenaan dibebankan dengan bilangan pesakit yang ramai bagi seorang fisioterapi, terutama di hospital besar, iaitu dengan nisbah seorang jurupulih perubatan fisioterapi bagi 30 pesakit.
“Saya ingin tahu adakah KKM akan menambah bilangan perjawatan fisioterapi dalam tempoh terdekat,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa bagi KKM di Dewan Rakyat, hari ini.
Wan Hassan juga membangkitkan kriteria Indeks Prestasi Utama (KPI) yang banyak dikenakan terhadap kakitangan Unit Sokongan hospital tanpa sebarang justifikasi yang rasional hingga membebankan tugas hakiki mereka untuk merawat pesakit
Selain itu, katanya ada kakitangan gred 32 atau 36 yang sudah lama mendapat ijazah, namun proses untuk naik ke gred 41 mengambil masa terlalu lama.
Beliau juga ingin tahu sama ada doktor gred 41 yang telah disambung kontrak, baru baru ini akan disambung lagi selepas tamat
“Saya juga difahamkan bahawa elaun kritikal jurupulih fisioterapi, jurupulih cara kerja dan ahli farmasi tidak diberikan walaupun perjawatan lain seperti jururawat sudah lama menikmati kelebihan itu sedangkan risiko terhadap jangkitan dan penyakit adalah sama.
“Begitu juga dengan peruntukan kewangan untuk kursus tidak mencukupi bagi kakitangan hospital pada waktu ini sehingga menyebabkan kualiti kursus ini terganggu,” katanya.
Sementara itu, katanya KKM perlu memberi perhatian terhadap tempoh menunggu yang lama sehingga lebih 30 minit untuk mendapatkan rawatan di klinik doktor pakar hospital awam, termasuk di Hospital Dungun.
Katanya, perkara lain yang menjadi keutamaannya ialah peralatan yang digunakan di wad dan unit hospital apabila rosak mengambil masa yang lama untuk diperbaiki dan digunakan semula, sekali gus mahu kerenah birokrasi yang menyebabkan masalah ini ditangani. – HARAKAHDAILY 6/12/21
.




















