
SINGAPURA: Orang ramai yang ingin membeli tiket bas untuk laluan perjalanan vaksinasi darat (VTL) antara Singapura dan Malaysia terpaksa menunggu lama, berikutan tempahan tiket untuk bulan ini sudah habis terjual selepas tempahan dibuka pada pagi Khamis hari ini (25 Nov).
Mesej di laman web Transtar Travel, salah satu daripada dua syarikat penyediaan perkhidmatan VTL darat berkata, tiket untuk 30 hari berikutnya telah habis dijual pada kira-kira 8.20 pagi, kurang setengah jam selepas ia tersedia pada 8 pagi.
Semakan di laman web Transtar pada kira-kira jam 8 pagi mendapati, pelawat diletakkan dalam barisan menunggu kerana ‘bilangan pengguna yang tinggi’.
Walau bagaimanapun, apabila diarahkan ke halaman tempahan kemudian, percubaan itu gagal untuk memilih salah satu slot masa untuk perkhidmatan bas yang tersedia.
Laman web itu kemudiannya membalas mesej yang mengatakan tiket telah habis dijual, Walaupun laman web Transtar boleh diakses tidak lama kemudian, tiket tetap tidak dapat menempah tiket ke mana-mana arah, lapor CNA.
Mesej ralat berbunyi: “Pelanggan yang dihormati, kami mengalami trafik yang sangat tinggi dan tidak dapat memenuhi permintaan anda sekarang. Sila cuba sebentar lagi. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku.”
Mesej laman web tersebut kemudiann menyatakan bahawa ia kini berada di bawah ‘penyelenggaraan kecemasan’.
Sementara semakan terhadap Handal Indah atau Causeway Link, laman web sebuah lagi syarikat perkhidmatan bas VTL darat antara Singapura dan Johor Bahru pada jam 7.30 pagi mendapati bahawa giliran maya untuk tiket bas akan bermula pada 8 pagi.
Namun, semakan berikutnya pada jam 7.50 pagi menunjukkan bahawa bilik menunggu maya telah berkuat kuasa, dengan mereka yang berada dalam barisan diberikan nombor giliran melebihi 3,500, lapor CNA lagi.
Semakan kemudian di laman web tersebut pada kira-kira jam 8.15 pagi menunjukkan nombor giliran telah meningkat kepada 13,008, dengan lebih daripada 12,000 pengguna masih menunggu giliran mereka.
Senario tiket sangat laris terjual itu berlaku sehari selepas Malaysia dan Singapura mengumumkan pelancaran VTL darat melalui Tambak mulai 29 Nov ini.
Sebagai sebahagian daripada fasa pertama VTL darat, orang ramai perlu menggunakan perkhidmatan bas VTL yang telah ditetapkan.
Mereka perlu lengkap dua dos vaksin Covid-19, selain merupakan warganegara, pemastautin tetap atau pemegang pas jangka panjang negara yang mereka masuki.
Terdapat 32 perkhidmatan bas yang ditetapkan VTL darat memasuki setiap negara setiap hari, dengan kapasiti maksimum 45 penumpang ‘duduk sepenuhnya’ bagi setiap perjalanan.
Kuota harian untuk skim VTL darat ialah kira-kira 2,880 pengembara secara keseluruhan, dengan 1,440 penumpang setiap perjalanan. – HARAKAHDAILY 25/11/2021




















