
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sesuai dijadikan kayu ukur terhadap keperluan mewartakan tarikh pilihan raya lebih awal bagi memudahkan calon mendekati pengundi.
Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Asrul Aimran Abd Jalik berkata, suasana pandemik Covid-19 yang belum berakhir sekarang menyebabkan calon terbatas untuk melaksanakan gerak kerja kempen.
Katanya, kesukaran itu dapat dilihat pada PRN Melaka baru-baru ini, di mana calon berdepan dengan pelbagai kekangan kerana tempoh kempen hanya 12 hari.
“Dan sekiranya kerajaan bersedia mewartakan lebih awal tarikh PRU ke-15 tentunya rakyat akan mempunyai masa yang lebih panjang untuk mengenali calon-calon yang bertanding,” katanya di sini.
Baru-baru ini Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi mencadangkan kerajaan mewartakan tarikh PRU lebih awal dengan mengambil kira suasana pandemik sekarang.
Cadangan turut disokong Prof Madya Dr Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menganggap dengan pewartaan itu membolehkan semua parti politik membuat persediaan lebih awal.
Malah kata beliau amalan itu sudah lama diamalkan di negara-negara maju.
Asrul Aimran juga berkata, cadangan tersebut perlu diberi perhatian kerajaan memandangkan tahap persediaan parti politik untuk berhadapan dengan PRU dalam suasana norma baharu masih baharu.
“Jika perkara ini dilaksanakan, masyarakat boleh diberi pendedahan mengenai kepentingan pilihan raya sebagai medan terbaik untuk memilih kepimpinan bagi menerajui negara.
“Ia juga memberi peluang bagi menarik anggota masyarakat khususnya anak-anak muda cakna terhadap proses pilihan raya yang diadakan setiap lima tahun sekali,” katanya.
Menurut beliau juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengkaji kaedah kempen norma baharu supaya wabak dapat dikekang, dan dalam masa sama setiap parti mampu menampilkan gerak kerja terbaik.
Katanya juga medium sosial seperti televisyen dan radio wajar dijadikan wasilah kempen terutamanya di kawasan luar bandar selain menggunakan media sosial. – HARAKAHDAILY 24/11/2021




















