Banjir dan kemarau musnahkan 50,164 hektar kawasan padi

Ronald Kiandee - imej daripada BERNAMA
- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kesan perubahan iklim menyebabkan tanaman padi di kawasan seluas 40,828 hektar musnah akibat banjir dan 9,336 hektar pula rosak akibat kemarau di Semenanjung Malaysia.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata kerosakan yang berlaku itu bagi tempoh lima tahun antara 2017 sehingga tahun ini.

- Advertisement -

Menurutnya, perubahan iklim adalah antara lima cabaran utama menjelang 10 tahun akan datang dalam sektor agromakanan yang perlu ditangani bagi memastikan jaminan sekuriti makanan negara.

“Empat cabaran lain ialah kekurangan sumber asli, produktiviti dan inovasi pertanian, perubahan demografi dan peralihan trend pemakanan, serta kehilangan dan pembaziran makanan,” katanya menjawab soalan lisan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Tarmizi meminta Menteri Pertanian dan Industri Makanan menyatakan langkah MAFI menangani perubahan iklim yang sudah pasti memberi kesan kepada industri pertanian negara, termasuk penanaman padi yang menjadi sumber makanan utama negara.

Ronald berkata, beberapa tindakan bagi menangani cabaran perubahan iklim dilaksanakan melalui Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 (Pelan DSMN).

Katanya, ini dilakukan dengan mempergiatkan pertanian mampan yang mesra alam dan berdaya tahan terhadap iklim bagi mengurangkan impak perubahan iklim terhadap sektor agromakanan serta memperluaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan pengeluaran makanan dengan kaedah teknologi berasaskan iklim.

“Secara khusus, MAFI mengambil pelbagai langkah bagi menangani kesan perubahan iklim, terutama bagi tanaman padi seperti pembangunan dan penggunaan varieti yang tahan banjir atau tahan kemarau.

“MAFI juga melakukan pembangunan varieti benih padi yang tahan kepada air masin jika berlaku sebarang kesan limpahan air laut ke kawasan penanaman padi,” katanya.

Beliau berkata, Peta Indeks Curahan Hujan Pertanian (ARI) dan Peta Tanah juga digunakan untuk menentukan kesesuaian tanaman di suatu kawasan serta merancang sistem perparitan dan pengairan.

Selain itu, katanya usaha dilakukan untuk meningkatkan kaedah penanaman padi berdasarkan panduan menguruskan tanaman padi mengikut sasaran dan pembinaan kelengkapan infrastruktur amalan pengairan sawah secara Penggiliran Basah dan Kering (AWD).

Katanya, MAFI juga memperkenalkan insurans pertanian untuk mengurangkan risiko kerugian melibatkan bencana akibat perubahan iklim. – HARAKAHDAILY 24/11/21

- Advertisement -