JAKIM gubal Pelan Tindakan OKU Muslim

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan membuktikan keprihatinan terhadap Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mendapat kefahaman yang baik terhadap Islam dengan menggubal Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya Muslim (PTOKUM).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menggubal pelan itu sebagai dukungan kepada Pelan Tindakan OKU Kebangsaan dan juga dasar sedia ada, iaitu Dasar OKU Negara yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

- Advertisement -

Katanya, kerjasama rentas kementerian diadakan seawal perancangan PTOKUM disediakan, iaitu melalui Persidangan Meja Bulat pada 5 hingga 6 Ogos tahun lalu di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.

“Kerjasama juga dilakukan melalui Mesyuarat Penyelarasan Cadangan Pemerkasaan OKU bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 17 September tahun lalu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) yang meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh mana kerjasama rentas kementerian dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan Dasar Pemerkasaan OKU Rabbani mampu mencapai sasaran yang ditetapkan.

Ahmad Marzuk berkata, pelan ini juga melalui beberapa sesi libat urus di peringkat JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Menurutnya, libat urus melibatkan kementerian berkaitan akan diadakan dari semasa ke semasa mengikut keperluan bagi memperkemaskan pelan ini sebelum dilaksanakan pada tahun 2022 bagi melengkapi Pelan Tindakan OKU Kebangsaan dan Dasar OKU Negara sedia ada.

“Penggubalan pelan ini merupakan keprihatinan kerajaan terhadap golongan OKU, sekali gus merupakan komitmen kerajaan dalam usaha memastikan OKU mendapat kefahaman yang baik tentang Islam, selain masyarakat cakna terhadap keperluan OKU Muslim,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/21

- Advertisement -