
Oleh: SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor komited dengan keputusan tidak akan menyambung dan mengeluarkan lesen premis judi di negeri itu walaupun ada pihak yang membantah dan tidak bersetuju.
Menurutnya, tindakan itu sebagai tanda syukur atas nikmat yang banyak Allah kurniakan kepada negeri itu.
“Ada pihak yang bantah, guna alasan hak asasi, rasis, halang hak bukan Islam. Tapi semua itu tidak betul. Tidak ada satu kajian pun yang mengatakan perjudian akan menguntungkan,” katanya ketika ucapan penggulungan sempen sidang Bajet Kedah 2020, di Wisma Darul Aman, semalam.
Tambah beliau, kerajaan negara China dengan populasi hampir 1.4 billion orang yang mana kira-kira 20 hingga 30 juta penduduk beragama Islam, telah mengharamkan perjudian sejak 1949.
“Malah rakyatnya tidak dibenarkan berjudi di dalam negeri itu selain turut mengambil tindakan terhadap mana-mana penduduknya yang melakukan aktiviti berkenaan di luar dari negaranya.
“Perkara itu dibuktikan apabila seramai 117,000 tangkapan dibuat terhadap rakyatnya yang berjudi di sempadan negara terbabit,” jelas beliau.
“Kita (Kedah) ramai orang Islam. Islam haramkan perkara ini (judi), jadi kita ambillah dasar untuk jaga keharmonian dan sebagai tanda syukur dengan nikmat Allah yang banyak.Tapi itu pun ada yang main sentimen di luar hakikat yang sebenar,” tegasnya.
Sanusi juga berkata, beliau kerap kali dituduh suka mencari gaduh terutama dengan negeri jirannya, Pulau Pinang.
Namun, sebenarnya apa yang berlaku itu jelas beliau adalah kerana untuk menuntut hak yang sepatutnya diterima oleh rakyat Kedah.
“Kalau hak saya, saya akan tuntut. Nyawa pun saya korbankan. Tak kiralah orang nak kata saya ‘çengei’ (garang). Itu hak depa nak nilai. Saya dengan cara saya. Tuhan bagi kita semua tak semacam tapi untuk perjuangan himpun jadi satu, insya-Allah akan menjadi satu kekuatan.
“Kita minta untuk bayaran sawah padi sebanyak RM111 juta, kekalkan kawasan hutan RM100 juta. Kita juga tuntut bayaran dari Pulau Pinang untuk air mentah RM50 juta, itu yang depa (Pulau Pinang) marah kat saya. Saya tidak akan berhenti minta hingga sampai suatu hari mereka akan bayar.
“Itu usaha positif saya. Kadang-kadang ada usik-mengusik sikit-sikit. Sajalah nak bagi panas line orang kata,” ujarnya berseloroh.
Selain itu pihaknya juga menuntut bayaran pajakan Pulau Pinang yang dahulunya dibayar sebanyak RM10,000 setahun, namun pada tahun 2018 sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, bayaran pajakan itu dinaikkan ke RM10 juta setahun.
Walaupun jumlah bayaran pajakan itu menjadi RM10,010,000 setahun ia masih jauh dari kadar nilaian semasa iaitu RM100 juta setahun.
“Saya akan terus membuat tuntutan. Apa yang saya tuntut ini samada dari Kerajaan Persekutuan mahupun Pulau Pinang, semuanya untuk rakyat Kedah, bukan untuk saya. Perkara itu pun telah dibawa oleh Tuanku Sultan Kedah pada persidangan Raja-Raja.
“Saya bukan cari gaduh tapi kalau perlu bergaduh untuk dapatkan hak saya berani. Saya akan pulun. Bertumbuk pun saya mau tapi tidaklah sampai peringkat itu. Nak habaq saya bersungguh,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu lagi.
Dalam masa yang sama Sanusi menasihatkan rakyat agar bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan dan saling bantu membantu antara rakyat dan kerajaan.
“Perkara kecil seperti parit tersumbat akibat buah atau pelepah kelapa yang jatuh atau rumput panjang meliputi mini tar di kampung dapatlah diselesaikan sendiri bukankan menunggu pihak kerajaan datang menyelesaikannya,” ujarnya.
ADUN Kota SiPuteh (Amanah) merungut, parit tersumbat sebab buah nyoq, pelepah nyoq masuk parit. Panggil JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) mai tolong cuci. Walhalnya orang kampung pun boleh cuci sendiri. Ini ada mini tar di kampung yang dinaiki rumput, sanggup lalu di celah-celah, tak tebas rumput sebab depa kata kerajaan akan tebas.
“Susah hati dengan realiti begini. Rakyat jadi terlalu manja. Tak bersyukur dengan apa yang ada tetapi berteriak tentang apa yang dia tak ada,” keluhnya lagi.
Seperkara lagi menurut beliau lagi, adalah mustahil untuk kerajaan menunaikan semua tuntutan yang di luar kemampuannya dan rakyat sepatutnya dididik agar bersyukur dengan apa yang ada serta elakkan mengambil kesempatan menekan kerajaan agar menunaikan permintaan mereka.
“Sedangkan dengan nikmat yang diperolehi kerajaan digunakan untuk rakyat dan dalam masa yang sama saya yakin tiada rumah (golongan yang layak) tidak menerima bantuan bakul makanan sehinggakan ada yang boleh menghimpun 10 beg beras di rumahnya.
“Tapi itu pun tak cukup, reyau (teriak) kat wakil rakyat. Tekan nak lagi. Nilai syukur sudah tiada. Dengan banyaknya nikmat yang Allah beri kita tak bersyukur sebaliknya kita lawan apa yang Allah suruh.
“Rezab kerajaan paling tinggi dalam sejarah, amannya kerajaan, Exco-exco dan para pegawai melaksanakan tugasan. Satu langkah sahaja, taat kepada perintah Allah, Allah akan tambah nikmat kepada kita,” jelas beliau.
Berikutan itu, beliau mengalu-alukan cadangan membina daripada semua pihak sama ada pembangkang, para Exco dan pegawai untuk sama-sama majukan Kedah untuk rakyat juga demi kerana Allah SWT.
“Sokongan dan dokongan daripada jentera kerajaan yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri diyakini dapat memacu negeri ini ke tahap lebih tinggi dalam tempoh 15 tahun melaksanakan Pelan Pembangunan Kedah 2035,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2021




















