
MELAKA: Perikatan Nasional (PN) tetap akan meneruskan agenda penyatuan ummah bagi memastikan ia terus diperkasakan, biarpun ombak dan badai melanda.
Ketua Penerangan PN Negeri Sembilan, Badzli Bakar berkata, PAS akan menjadi jambatan untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan PN.
“Agenda itu tetap dipertahankan selaras dengan apa yang diputuskan pada muktamar PAS di Kuala Terengganu baru-baru ini,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Sebelum itu, beliau meneruskan gerak kerja kempen termasuk bersama Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha di beberapa lokasi tempat calon PAS bertanding.
Selain itu mengikuti program bersama pimpinan dan calon PAS di konti Hijau FM di Pejabat Penerangan Melaka bersama Melaka Update.
Turut kelihatan membantu kempen calon PAS dan PN ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya dan pimpinan PAS Pahang.
Manakala malam tadi Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Dato’ Kamarudin Sidek yang juga calon PN Dun Duyong meraikan petugas media.
Calon-calon yang bertanding dan petugas pilihan raya melakukan pecutan terakhir dengan masa berbaki dua hari lagi, menjelang hari pengundian Sabtu ini.
Biarpun media harian menggambarkan potensi Umno dan Barisan Nasional (BN) dan PH meraih lebih banyak kerusi, namun peluang PN masih terbuka.
Kehadiran Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lebih sebagai Abah ternyata berupaya berjaya menarik simpati rakyat.
Penduduk tempatan memberitahu, mereka banyak terhutang budi kepada Abah kerana menyalur pelbagai bantuan ketika berdepan dengan penularan wabak Covid-19 sebelum ini. – HARAKAHDAILY 17/11/2021




















