KPPK pastikan harga komoditi stabil

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) melaksanakan pelbagai strategi di peringkat antarabangsa dan domestik untuk memastikan harga komoditi negara berada dalam keadaan stabil.

Menterinya, Dato’ Zuraida Kamaruddin, berkata ini termasuk memperkukuh kerjasama strategik dengan negara pengeluar utama komoditi melalui platform antarabangsa seperti Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit, International Tripartite Rubber Council (ITRC) dan International Pepper Community (IPC).

- Advertisement -

Katanya, kerjasama ini membolehkan perancangan dan pelaksanaan pelbagai aktiviti untuk memperkukuhkan harga serta memantapkan lagi amalan persekitaran mampan, pengurusan bekalan, aktiviti promosi dan pembangunan industri komoditi dari sektor hiliran hingga ke huluan.

“KPPK juga berusaha meningkatkan permintaan melalui pengukuhan pasaran sedia ada dan penerokaan pasaran baharu seperti ke benua Afrika dan Afrika serta negara Timur Tengah.

“Pada masa sama, usaha dilakukan untuk meningkatkan penggunaan dalam negara melalui pembangunan pelbagai produk baharu berasaskan komoditi,” katanya ketika menjawab soalan lisan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) di Dewan Rakyat, hari ini.

Zuraida berkata, KPPK juga meningkatkan akses pasaran melalui perundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala dan perundingan pelbagai hala atau serantau.

Selain itu pada 4 Oktober lalu, katanya Bursa Malaysia Derivatif (BMD) telah melancarkan satu kontrak niaga hadapan baharu berdasarkan minyak sawit mentah, iaitu Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO).

Katanya, penubuhan FEPO bagi mengurangkan kesan ketidakstabilan harga komoditi sawit dan dijangka dapat mengurangkan kesan ketidakstabilan harga komoditi tersebut pada masa hadapan.

“Pada masa ini, BMD sedang menguruskan Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) dan Kontrak Niaga Hadapan Minyak Isirong Sawit Mentah (FPKO).

Sementara itu menjawab soalan tambahan Che Alias, beliau berkata kerajaan akan mewujudkan satu mekanisme yang membolehkan pekebun kecil sawit mengusahakan kebun secara berkelompok.

Katanya, ini akan memberi kesan yang lebih lumayan dari segi pengeluaran hasil, proses dan juga aktiviti hiliran, sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun sawit. – HARAKAHDAILY 16/11/21

- Advertisement -