JPKK barisan hadapan kerajaan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Pelbagai usaha telah dilakukan untuk memperkasakan peranan, pengurusan dan kewangan badan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), yang mempunyai kepentingan sebagai antara barisan hadapan atau frontliners mewakili kerajaan negeri untuk membantu pembangunan khususnya di luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan, Pembasmian Kemiskinan dan Kesejahteraan Masyarakat, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, pelbagai siri kursus dan bengkel untuk JPKK ini dibawah tanggungjawab pejabat daerah masing-masing.

- Advertisement -

“Pejabat daerah sebagai jabatan kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan dan mengadakan pelbagai siri kursus dan bengkel bagi melengkapkan JPKK dengan maklumat serta ilmu berkaitan dengan pengurusan komuniti kampung,” jelasnya menjawab soalan Abd. Nasir Idris (PAS-Bayu) ketika soalan lisan pada Sidang Bajet Kedah 2022, hari ini.

Katanya lagi, JPKK setiap kampung sama ada pengerusi, setiausaha dan biro-biro juga diperuntukkan elaun kewangan untuk membantu mereka menjalankan tugas.

Pejabat daerah juga menyediakan pelbagai peralatan keperluan asas pejabat untuk kegunaan rasmi JPKK bagi membantu rakyat yang memerlukan pertolongan mereka.

“Tidak itu sahaja. Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan agensi-agensi di bawahnya sentiasa mengadakan siri-siri kursus, seminar dan bengkel terutamanya secara atas talian bagi memastikan JPKK terdedah  dengan pelbagai maklumat bermanfaat untuk kegunaan masyarakat luar  bandar,” katanya.

Antaranya tambah beliau, Program Mentor-Mentee untuk membimbing dan membantu JPKK terutama dari aspek pengurusan.

JPKK juga kata Ashah, diberi peranan besar oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) di peringkat daerah untuk membantu menguar-uarkan info berkenaan program vaksinasi. 

“Mereka juga dibantu untuk menggerakkan perkhidmatan vaksinasi bergerak dan setempat bagi memudahkan penduduk kampung mendapatkan suntikan. 

“Tanggungjawab ini juga boleh membantu mereka memahirkan diri untuk menguruskan program-program kerajaan di peringkat komuniti masing-masing,” jelasnya lagi. 

Sementara itu, peruntukan RM50,000 di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bajet 2022 melalui Program Desa Sejahtera dijangka dapat membantu melaksanakan penambahbaikan kecil.

Beliau yakin, JPKK akan memainkan peranan sebaiknya untuk memastikan tiada rakyat yang tertinggal untuk mendapatkan bantuan yang disediakan kerajaan.

“Besar harapan kerajaan supaya JPKK sentiasa menjadi mata dan telinga kerajaan agar isu kesusahan rakyat tertinggal atau terpinggir oleh pihak kerajaan tidak berlaku,” ujar beliau. 

Menurutnya lagi, JPKK juga antara yang paling dekat dengan rakyat dan menjadi saluran maklumat dan mengembalikan maklum balas kepada kerajaan. 

“Dalam masa yang sama, banyak program tidak dapat dilaksanakan sepanjang 2021 ini akibat pandemik Covid-19 dan menyebabkan peruntukan tidak dapat disalurkan. Justeru, peruntukan pada tahun 2022  akan disalurkan pada awal Januari depan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/11/2021

- Advertisement -