
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenal pasti tujuh isu yang perlu diberi keutamaan dalam pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi menambah baik pelaksanaan perlindungan terhadap pemberi maklumat dan mengekang kes salah laku dan rasuah, terutama bagi kes berprofil tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kerajaan mengakui Akta 711 mempunyai kekurangan, sama ada dari segi pelaksanaan atau dalam peruntukan akta itu sendiri.
Katanya, ini berdasarkan statistik antara tahun 2011 hingga 2021, jumlah aduan yang diterima oleh tujuh agensi penguatkuasa di negara ini adalah tinggi, iaitu sebanyak 73,545, namun jumlah pemberi maklumat hanya seramai 527 orang.
“Tujuh isu yang telah dikenal pasti untuk diberi keutamaan dalam proses penambahbaikan akta, termasuk definisi `Kelakuan tidak Wajar’ di bawah Seksyen 2 Akta 711 yang terlalu luas dan tidak jelas.
“Akta 711 juga tidak mengiktiraf mekanisme aduan dalaman yang diwujudkan dalam sesebuah organisasi `bukan agensi penguatkuasa’ untuk diterima sebagai saluran pendedahan kelakuan tidak wajar yang sah dan diterima di bawah Akta 711,” katanya menjawab soalan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, beliau berkata tiada pengurusan secara berpusat atau pihak berkuasa tunggal yang bertanggungjawab dalam memberi perlindungan kepada pemberi maklumat di negara ini.
Menurutnya, terdapat tidak konsisten antara Seksyen 6 Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Seksyen 203A (1) dan (2) Kanun Keseksaan.
“Seksyen 203A Kanun Keseksaan memperuntukkan mana-mana pihak yang didapati mendedahkan mana-mana maklumat yang diperolehnya sewaktu menjalankan tugas merupakan suatu kesalahan. Namun Akta 711 membenarkan pendedahan sesuatu kelakuan tidak wajar yang diketahui sewaktu seseorang menjalankan tugas, sama ada oleh pegawai badan awam, atau badan swasta,” katanya.
Selain itu, terdapat percanggahan Seksyen 8 dan Seksyen 14 Akta 711, iaitu Seksyen 8 memperuntukkan bahawa pendedahan identiti pemberi maklumat merupakan suatu kesalahan, manakala Seksyen 14 memperuntukkan kuasa kepada Agensi Penguatkuasa menjalankan siasatan berhubung `Tindakan Yang Memudaratkan’ apabila menerima aduan daripada pemberi maklumat.
Katanya, Seksyen 11(1)(a) memperuntukkan bahawa agensi penguatkuasaan boleh membatalkan perlindungan pemberi maklumat jika berdasarkan penyiasatan didapati bahawa pemberi maklumat itu sendiri telah menyertai kelakuan tidak wajar yang didedahkan itu dan Seksyen 26 Akta 711 tidak memperuntukkan kaedah serta skala pengiraan ganjaran.
Beliau berkata, tujuh isu ini masih dalam kajian dan penelitian Jawatankuasa Kerja Pindaan Akta 711 dengan hasil kajian dan parameter bagi cadangan penambahbaikan akta ini dijadual akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada bulan hadapan. – HARAKAHDAILY 16/11/21




















