
Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM1.657 bilion untuk perbelanjaan mengurus bagi Belanjawan 2022, berbanding RM1.375 bilion pada tahun ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata Belanjawan Terengganu 2022 juga memperuntukkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM600 juta dan perbelanjaan bekalan air sebanyak RM40 juta.
Menurutnya, Belanjawan Terengganu 2022 mengandungi 147 inisiatif di bawah 22 objektif yang dipayungi lima teras, iaitu memperkuatkan daya tahan isi rumah, memperkukuhkan kesejahteraan sosial masyarakat, memperbaiki ketersediaan kemudahan awam rakyat, memberdaya pertumbuhan ekonomi negeri serta memperindah persekitaran dan melindungi alam.
Daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus, katanya sebanyak RM92.99 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.56 bilion bagi Perbelanjaan Bekalan.
“Bagi Perbelanjaan Bekalan, sebanyak RM264.84 juta untuk Emolumen, RM244.47 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM22.14 juta untuk aset, RM1.032 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1 juta untuk lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2022 bertemakan ‘Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua’ pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Menteri Besar berkata, di bawah komponen Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, sejumlah RM400 juta dicarum ke Kumpulan Wang Pembangunan, RM230 juta bagi pemberian kepada Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun dan Pelbagai Agensi.
Katanya, sebanyak RM664.71 juta bagi pemberian kepada Jabatan-jabatan Kerajaan dan RM270 juta bagi program-program pelbagai perkhidmatan di bawah pejabat Setiausaha Kerajaan.
Daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan, katanya sebanyak RM436.92 juta (72.82 peratus) diperuntukkan untuk Sektor Sosial merangkumi pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam, pembangunan bandar dan luar bandar serta sukan dan perumahan.
“Sebanyak RM137.28 juta (22.88 peratus) pula untuk Sektor Pentadbiran merangkumi teknologi maklumat, pentadbiran am serta projek khas dan projek penting luar jangka dan RM25.8 juta (4.30 peratus) untuk Sektor Ekonomi merangkumi pertanian, pelancongan dan industri termasuk industri mikro, kecil dan sederhana,” katanya.
Beliau berkata, bagi hasil pula kerajaan negeri menganggarkan sejumlah RM1.507 bilion iaitu sebanyak RM61.02 juta daripada Hasil Cukai, RM157.49 juta daripada Hasil Bukan Cukai dan RM1.28 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil termasuk Royalti Petroleum. – HARAKAHDAILY 15/11/21




















