Ahli Majlis, PBT digesa tunaikan tanggungjawab

- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Ahli Majlis bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di semua daerah digesa agar mamainkan peranan dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan sebaiknya untuk rakyat.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, enam tanggungjawab utama yang mesti direalisasikan setiap Ahli Majlis bersama  PBT ialah sebagai sebahagian daripada sistem pentadbiran, penasihat mewakili rakyat, penggubal dasar, pendukung dasar dan tenaga penggerak masyarakat.   

- Advertisement -

“PBT juga perlu memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat selaras sebagai kerajaan ketiga dalam struktur pentadbiran kerajaan.

“Ahli Majlis bersama PBT perlu bersedia meneroka pembangunan dan berdepan dengan pelbagai cabaran untuk kemajuan sesuatu kawasan demi memberi keselesaan dan perkhidmatan yang baik kepada masyarakat,” jelasnya ketika menyampaikan ucapan pada Program Executive Talk Perundangan Perancangan (Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 [Akta 172]) di Raia Hotel, di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis berkenaan,antaranya  Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Noor Azman Taib, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Paduka Ammar  Dato’ Shaikh Mahmood Naim, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Dr  Mohd Hayati  Othman dan Ketua Pengarah PLANMalaysia, TPr Gs Dr. Shamsaini Shamsuddin

Menurut beliau lagi, pelantikan 24 orang Ahli Majlis setiap daerah yang terdiri daripada wakil ahli politik dan beberapa agensi kerajaan adalah bagi membantu di dalam penggubalan dasar, merancang dan mengawasi pelaksanaan program pembangunan di peringkat PBT masing-masing.

Berikutan itu, Ahli Majlis serta PBT di semua daerah (12 daerah) juga berperanan menjayakan matlamat pembangunan Rancangan Struktur Kedah 2035, menjadikan Kedah Sebagai Negeri Sejahtera Dan Berdaya Huni dipacu dengan baik agar negeri itu berdaya saing, mampan serta berdaya tahan.

“Saya mengharapkan agar Rancangan Struktur Negeri Kedah 2035 ini akan menjadi rujukan utama di peringkat negeri, PBT, jabatan-jabatan kerajaan dan semua agensi yang terlibat dengan pembangunan dan perancangan fizikal guna tanah bagi seluruh negeri ini. 

Kata Sanusi lagi, pihaknya kini sedang merangka program pemulihan dan pembangunan semula kawasan yang terjejas akibat kejadian kepala air Gunung Jerai 18 Ogos lalu melalui satu kajian khas iaitu Pelan Induk Pembangunan Semula Titi Hayun oleh PLANMalaysia@Kedah.

Justeru, beliau mewakili kerajaan negeri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada PLANMalaysia khususnya PLANMalaysia@Kedah yang penuh iltizam dalam merancang, menyelaras dan mengawal selia aktiviti pemajuan agar selaras dengan Rancangan Pemajuan yang telah diwartakan.

Sehubungan itu, PLANMalaysia@Kedah juga berperanan menasihati kerajaan dalam perancangan guna tanah di negeri ini.

“Saya menaruh harapan agar Program Executive Talk Sempena Sambutan HPBS Tahun 2021 kali ini menjadi medan penyampaian ilmu kepada semua Ahli-Ahli Majlis dalam melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kefahaman berkaitan aspek perundangan khususnya Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 [Akta 172},” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/11/2021

- Advertisement -