
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Kerajaan berpandangan pelaksanaan kaedah Bina Kemudian Jual (BKJ), berbanding Jual Kemudian Bina (JKB) yang digunakan sekarang dalam industri hartanah boleh dilaksanakan secara komprehensif selepas tahun 2023.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, berkata melalui Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018-2025, di bawah Fokus 2, iaitu menambah baik aksesibiliti dan tahap kemampuan memiliki rumah, kementerian telah menggariskan pelan tindakan bagi memastikan peralihan daripada JKB kepada BKJ dilaksanakan secara berperingkat.
Mulai tahun 2019, katanya kementerian telah membuat kajian dan pindaan terhadap Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dengan akta ini dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga tahun hadapan.
Katanya, antara pindaan yang dicadangkan ialah jadual pembayaran perjanjian jual beli Jadual G dan H akan lebih mirip kepada BKJ.
“Bayaran peringkat awal hanya merangkumi 40 peratus dan baki bayaran semasa pemakluman selepas pembeli menerima notis daripada pemaju bagi penyerahan pemilikan kosong dengan disokong Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC),” katanya ketika menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) di Dewan Rakyat, hari ini.
Reezal Merican berkata, pindaan lain yang dicadangkan ialah elemen tuntutan bayaran daripada pembeli oleh pemaju adalah tolak 5 peratus, iaitu sebagai contoh jika tuntutan adalah 40 peratus, maka pembeli hanya membayar 35 peratus.
Menurutnya, semua wang pegangan ini, akan dilepaskan kepada pemaju selepas projek mendapat CCC bagi mengelakkan tuntutan melebihi atau tidak sepadan dengan kerja yang diperakukan.
Katanya, jika sesuatu projek ditakrifkan sebagai lewat atau sakit oleh kementerian berdasarkan jadual kemajuan projek yang dikemukakan oleh pemaju tidak sama dengan pemajuan fizikal, maka syarikat berkenaan tidak diluluskan untuk memohon Permit Iklan dan Jualan.
“Ahli Lembaga Syarikat pemaju berkenaan pula disenarai hitam dan tidak dibenarkan keluar negara serta pemegang saham tidak benarkan untuk melabur di syarikat lain,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa hala tuju pemajuan perumahan harus menuju kepada kaedah penjualan berkonsepkan BKJ.
Bagaimanapun, katanya perkara ini perlu diperhalusi memandangkan suasana ekonomi negara yang dilanda pandemik COVID-19 tidak sesuai untuk mewajibkan pemajuan secara BKJ. – HARAKAHDAILY 11/11/21




















