
Oleh KAIROL ZULHAIDI
KUALA LUMPUR: Dasar luar Republik Iran adalah mengutamakan hubungan baik dengan negara-negara jirannya khususnya dan benua Asia secara amnya.
Duta Iran ke Malaysia, Ali Asghar Mohammadi berkata, dasar luar Iran yang seimbang adalah dengan mengutamakan hubungan baik dengan negara-negara jirannya dan Asia kerana pada abad ke-21 ini khususnya menyaksikan kemunculan kuasa ekonomi baharu di Asia.
Menurutnya, hubungan dasar luar yang seimbang bermaksud diplomasi yang aktif antara Timur dengan Barat.
“Dasar berjiran dan berpusatkan Asia menjadi keutamaan di samping mengukuhkan hubungan dengan negara-negara Islam termasuk Malaysia yang ditakrifkan dalam keseimbangan dasar ekonomi.
“Tiga prinsip asas iaitu ‘maruah’, ‘kebijaksanaan’ dan kesesuaian’ akan membentuk asas dasar luar Republik Islam yang dinamik dan pintar,” ujarnya ketika ditemui di Kedutaan Iran, di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Dasar ‘Pandang ke Timur’ Iran berkenaan merupakan keutamaan dasar luar Iran.
Katanya, Iran harus memandang ke timur untuk mengatasi ‘rintangan ekonomi’ yang boleh menahan sekatan ekonomi dan tekanan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.
“Iran akan berusaha untuk menggunakan ‘kapasiti kuasa ekonomi baru muncul’ untuk kemajuan negara dan meningkatkan ‘perniagaan antarabangsa’ selaras dengan ‘memperbaiki taraf hidup’ rakyat Iran,” tegasnya.
Terdahulu, pada 2018, Washington sebulat suara telah menarik diri daripada Pelan Komprehensif Bersama Tindakan (JCPOA) 2015, secara tidak rasmi dikenali sebagai perjanjian nuklear Iran, yang telah ditandatanganinya dengan enam negara lain.
AS kemudiannya mengenakan semula sekatan terhadap Iran yang seterusnya mengambil langkah pembetulan sebagai tindak balas terhadap pemansuhan JCPOA oleh AS pada Mei 2018 dan ketiadaan tindakan Eropah untuk membayar pampasan kepada Iran impak sekatan AS.
Bekas Presiden AS, Donald Trump juga turut memperkenalkan ‘tekanan maksimum’ sebagai kempen menentang Iran. AS kemudiannya melanggar Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2231 yang mengesahkan perjanjian nuklear 2015.
Di bawah JCPOA, Iran diwajibkan untuk meletakkan had ke atas aktiviti program nuklearnya sebagai pertukaran untuk penamatan sekatan ekonomi dan kewangan terhadap negara itu.
Sehubungan itu, Iran telah membuktikan bahawa tidak pernah berlaku sebarang penyelewengan dalam program nuklearnya, yang kemudiannya telah disahkan oleh laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa.
Iran telah berhujah bahawa beberapa sekatan AS kononnya atas alasan selain daripada program nuklear menghalang keupayaannya untuk mendapat manfaat daripada JCPOA dan apa yang diperlukan negara itu adalah jaminan bahawa Washington tidak akan sekali lagi menarik diri daripada perjanjian itu sepertimana yang dilakukan oleh Trump pada 2018. – HARAKAHDAILY 11/11/2021




















