
Oleh SRIHAYANIS ABASRI
KUALA LUMPUR: Penubuhan Jawatankuasa Pembaharuan Cukai (TRC) adalah antara usaha Kementerian Kewangan untuk menambah baik sistem percukaian negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah, berkata TRC yang ditubuhkan pada 12 September 2018, bertujuan menambah baik, memperbaharui sistem dan dasar percukaian negara.
Katanya, ini melibatkan konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan dan kerjasama rapat agensi percukaian utama, iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Pada Disember 2019, TRC mengemukakan beberapa cadangan pembaharuan cukai untuk pertimbangan kerajaan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Khairuddin meminta Menteri Kewangan menyatakan rancangan dan tindakan kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan cukai bagi memastikan hasil pendapatan negara kembali stabil sebagai persediaan negara memasuki fasa pemulihan ekonomi.
Mohd Shahar berkata, antara langkah utama yang telah dilaksanakan oleh kerajaan adalah mengenakan levi pelepasan bagi semua penumpang ke luar negara melalui laluan udara bermula 1 Julai 2019.
Katanya, ini diikuti mengenakan duti eksais mulai 1 Julai 2019 terhadap dua kategori minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan yang sedia diminum.
“Kerajaan juga menjalankan Program Khas Pengakuan Sukarela untuk memberi peluang kepada pembayar cukai mengisytiharkan secara sukarela sebarang pendapatan yang tidak dilaporkan bagi tujuan cukai.
“Selain itu, sekatan masa dikenakan ke atas kerugian perniagaan, baki elaun pelaburan semula dan baki rugi perintis yang tidak dapat diserap untuk mengurangkan ketirisan hasil.
“Penstrukturan semula juga dibuat terhadap pemberian insentif percukaian secara menyeluruh. Sebahagian cadangan TRC masih diteliti bagi melihat tempoh masa yang sesuai untuk dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, paling utama ialah pelaksanaan langkah meningkatkan hasil cukai tidak menambah beban rakyat dan tidak menjejaskan kedudukan ekonomi serta daya saing negara untuk menarik pelaburan. – HARAKAHDAILY 9/11/21




















