
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Seramai 4,186 daripada 10,583 pegawai perubatan kontrak yang tamat perkhidmatan wajib dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dinilai dan diperakukan untuk lantikan tetap.
Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata 3,586 daripada jumlah itu adalah pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi membabitkan kos kira-kira RM377.4 juta.
Katanya, semua jawatan berkenaan diperlukan bagi lantikan tetap perkhidmatan tahun depan.
“Perkara ini selaras dengan keputusan Kabinet pada 14 Julai lalu, membabitkan pegawai perubatan lantikan kontrak yang sudah melengkapkan latihan khidmat wajib dua tahun disambung dua tahun lagi demi kesinambungan perkhidmatan dan persediaan pengajian kepakaran untuk pegawai terbabit,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan berikutan kegagalan kerajaan untuk memastikan perjawatan tetap kepada doktor kontrak yang terdapat di negara ini, apakah langkah kerajaan dalam menghadapi gelombang kedua Hartal Doktor Kontrak.
Selain itu, Ketua Pembangkang mahu mengetahui halangan kepada kerajaan untuk mengambil mereka berjawatan tetap serta berapa implikasi tambahan kewangan Kementerian jika kerajaan menyetujui pengambilan mereka.
Khairy bersetuju dengan pandangan Ketua Pembangkang yang menyarankan supaya semua doktor kontrak diserap untuk lantikan tetap.
“Pandangan saya tidak jauh beza. Kita lihat dulu berapa ramai diperlukan, tetapi pandangan saya menghampiri Ketua Pembangkang supaya mereka dilantik secara tetap,” katanya.
Beliau berkata, KKM sedang menyediakan unjuran keperluan doktor untuk dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan bagi membolehkan doktor kontrak dapat dilantik secara tetap.
Katanya, pelantikan doktor secara kontrak bermula sejak akhir 2016, iaitu kira-kira 24,000 orang dan daripada jumlah itu, hanya kira-kira 1,000 diserap ke jawatan tetap.
“Saya tidak pasti dapat serap semua kerana ini memerlukan unjuran keperluan doktor yang sedang KKM sediakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/11/21




















