Jangan ragu untuk undi calon Perikatan Nasional

Nuridah (kanan) bersama Aziah di Kompleks PAS Bukit Katil.
- Advertisement -

MELAKA: Rakyat Melaka diharap tidak ragu untuk mengundi calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini.

Ini kerana prestasi PN sejak memegang tampuk kepimpinan negara sangat jelas prihatin kepada nasib rakyat, kata Timbalan Ketua Wanita PN, Senator Nuridah Mohd Salleh.

“Harapan kita supaya rakyat tidak ragu-ragu memilih calon-calon yang kita tampilkan.

“Alhamdulillah, prestasi Perikatan Nasional sangat terserlah mengambil berat kehidupan masyarakat sejak Perikatan Nasional memegang tampuk kepimpinan negara,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily semasa menghadiri Majlis Taujihat bersama calon PAS di Markas Induk Bukit Katil, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin dan Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.

Mengulas keputusan PAS untuk meletakkan hanya seorang wanita sebagai calon PN pada PRN Melaka, kata Nuridah, pihaknya sememangnya berharap untuk menempatkan calon wanita lebih daripada seorang.

Bagaimanapun, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) itu akur dengan ketetapan itu dan berkata pihaknya akan berusaha untuk memperoleh lebih daripada satu kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ditanya mengenai kriteria untuk melayakkan wanita menjadi calon pada PRN itu, kata Nuridah antaranya adalah mempunyai ketokohan dalam kepimpinan.

Selain itu, katanya, mempunyai peribadi dan akhlak yang baik, keluarga yang mampu menjadi contoh kepada masyarakat dan cemerlang di dalam kerjayanya.

PAS menampilkan Aziah Mohd Sa’ad sebagai calon tunggal wanita untuk bertanding atas tiket PN pada PRN Melaka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi.

Aziah akan menentang calon dari Barisan Nasional (BN), Rosli Abdullah, Julasapiyah Kassim (PH-Amanah), Kamisan Palil (Bebas).

Menurut Nuridah, Aziah merupakan pesara Guru Pendidikan Khas dan pengusaha rumah inap.

Beliau mempunyai empat orang cahaya mata dan salah seorang daripadanya merupakan anak istimewa.

Katanya, calon wanita tunggal PAS itu sangat prihatin kepada kehidupan masyarakat setempat dan mampu menjadi tokoh kepimpinan wanita yang teguh dengan prinsip, khususnya syariat Islam. – HARAKAHDAILY 8/11/2021

- Advertisement -