Terus berdakwah membawa perubahan – Presiden

- Advertisement -

KUALA NERUS: PAS perlu terus bekerja membuat perubahan melalui medan demokrasi yang merupakan pendekatan muwajahah silmiyyah di mana mendahulukan perdamaian khususnya terhadap umat sendiri.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, usaha menyatukan manusia tidak dapat dibuat dengan ekonomi, keturunan, sempadan negeri atau wilayah atau fanatik dan asabiyah seperti diuar-uarkan ahli falsafah Barat.

Sebaliknya tegas beliau, penyatuan hati-hati adalah dengan iman, takwa dan ukhuwah di mana terbukti mengubah manusia yang liar, berperang, membunuh anak dan keluarga sendiri, serta saling berpecah.

“(Apatah lagi) umat sendiri yang tenggelam di dalam kejahilan. Mati rohnya, mati jiwanya, mati akalnya, dijajah pemikiran mereka, dipengaruhi oleh anasir-anasir yang menjajah pemikiran, yang lebih dahsyat daripada menjajah tanah air.

“Sehingga sanggup menyerang agama sendiri, menghina agama sendiri, menghina hukum Islam, timbulnya fitnah takfir, kafir mengkafir yang dahsyat,” ungkapnya dalam ucapan penangguhan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di Duyong Marina & Resort, di sini sebentar tadi.

Tegasnya, untuk itu semua ahli dan pimpinan PAS mestilah menjadi pendakwah dan bukannya hakim yang menjatuhkan hukuman iaitulah menggunakan ilmu dan hikmah dalam mendepani kepelbagaian umat dan perpecahan.

Jelas beliau, PAS sepanjang keberadaannya telah menghadapi segala fitnah ke atas umat dengan sabar dan berusaha menghadapi kejahilan terhadap agama sendiri dengan memperkenalkan batas-batas iman dan kufur.

Malah katanya, menghadapi kelemahan umat di seluruh dunia Islam yang turut dipengaruhi tindakan radikal dan melampau hingga menjemput penjajah lalu menjadi alat merendahkan bangsa dan agama sendiri serta menyebabkan perpecahan.

Namun menurut Tuan Guru, atas perintah berdakwah dan mengadakan kebajikan dan menegakkan amar makruf nahi munkar yang diperintahkan Allah S.W.T itulah PAS ditubuhkan dan menghadapi semua cabaran umat ketika itu.

“Oleh kerana kita memasuki medan demokrasi, peranan mempengaruhi rakyat sangat penting dengan ilmu berhikmah, dengan kebaikan kebajikan yang menarik rakyat. Di sini peranan Dewan Ulamak, peranan Dewan Muslimat, peranan Pemuda, peranan Dewan Himpunan memainkan peranan menarik rakyat supaya menyokong kita,” ujarnya.

Di negeri-negeri yang PAS punyai kekuatan seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, beliau menggesa supaya culaan sokongan diadakan di semua peringkat dan mestilah meletakkan calon untuk dimenangkan serta berperanan.

Tuan Guru turut menyentuh mengenai Kerajaan Teknokrat yang pernah beliau lontarkan dengan menjelaskan bahawa tidak semua akan bertanding sebagai calon pilihan raya, sebaliknya akan diberi peranan dalam pemerintahan.

Jatuh bangun dalam politik

Tuan Guru dalam ucapannya itu turut mengimbau sejarah peranan PAS dalam menyatukan umat hingga banyak parti yang ada masalah datang bergabung dengan PAS, termasuk menghadapi situasi seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

“Bila Umno dalam kedaaan lemah, mengajak PAS menyertai Kerajaan Campuran. (Tahun) 1974 ditubuhkan Barisan Nasional. Umno sanggup lempar simbol kapal layar, pakai simbol dacing. Tukar simbol. Orang PAS takut nak tukar simbol.

“Pas pakai simbol dacing sama-sama. Diberitakan Dato’ Asri (Muda) yang cadang gunakan simbol dacing ini. Umno terima. Tinggal kapal layar, kita tinggal bulan, pakat menang besar 1974 itu.

“(Tahun) 1979 kita dijatuhkan di Kelantan, dengan cara yang biadab, mengambil peluang krisis yang berlaku dalam PAS. Kita sabar. Masuk  pilihan raya dengan isytihar darurat di Kelantan, PAS bertanding dalam keadaan darurat memang 2 kerusi saja,” ceritanya.

Pun begitu katanya, pengaruh PAS berjaya masuk ke dalam agensi kerajaan dan banyak peringkat sehinggakan PRU selepas itu ramai calon PAS terdiri daripada bekas tentera, polis dan pegawai kerajaan di mana muafakat politik terus mencapai kejayaan.

Bahkan ketika bersama dengan gabungan lain, PAS juga tidak gagal apabila berjaya mendapat pemerintahan walaupun sekejap di beberapa negeri, namun dapat menembusi tembok pemisah dengan bukan-Islam hingga adanya DHPP hari ini.

Selain kejayaan tahaluf yang diadakan katanya, PAS juga tidak mati walaupun berdepan krisis dalaman hatta dikacau luar dan dalam ketika memerintah, dikepung dan disekat, termasuk dipenjarakan di bawah ISA.

Kemampuan PAS itu jelasnya, kerana berpegang kepada asas yang kuat yakni Islam, malah PAS meluaskan peranannya hingga ke peringkat antarabangsa menangani pelbagai krisis umat Islam hingga berlaku perdamaian dihasratkan.

Terus berperanan

Begitu juga katanya, dalam perkembangan mutakhir di Afghanistan selepas berjaya mengusir keluar Amerika Syarikat, beberapa diplomat negara Islam mengharap PAS memainkan peranan membantu Taliban membangunkan semula negara itu.

Tuan Guru turut menegaskan pentingnya PAS istiqamah berpegang kepada akidah perjuangan Islam dalam semua keadaan dengan tegak tsawabit bersama perkara prinsip, dasar dan rukun, namun ijtihad dalam perkara mutaghayyirat.

Beliau memberikan contoh antaranya keputusan menerima satu logo di PRN Melaka sebagai antara ijtihad yang dibenarkan di mana perkara tersebut menjadi hal amat ditakuti lawan dan merupakan kejayaan memasuki negeri tersebut.

Jelasnya, perubahan boleh berlaku sebagaimana telah ditunjukkan di beberapa kerusi DUN dan Parlimen yang dahulunya sukar untuk PAS seperti di Gua Musang, Kemaman dan Baling.

Malah, beliau mengajak semua melihat betapa di sebalik cabaran disasarkan dibeli dan dibuli, tetapi wakil-wakil rakyat PAS termasuk rakyat Kelantan tidak berganjak daripada istiqamah mereka terhadap PAS.

Tuan Guru menyeru untuk terus istiqamah berdakwah, beramal soleh dan membuat kebaikan serta kebajikan, selain meluaskan sikap memaafkan serta tidak menjadikan kuasa untuk membalas kejahatan di masa lalu. – HARAKAHDAILY 7/11/2021

- Advertisement -
- Advertisement -