
KUALA NERUS: PAS telah mengusahakan gagasan muafakat politik sejak awal penubuhannya di era tahun 1950-an lagi dan kekal berterusan sehingga kini yang antaranya adalah dari peranan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi.
Perwakilan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Hafez Sabri berkata, Tuan Guru Abdul Hadi sendiri ada membuat kertas kerja berkaitan bertarikh 7 Oktober 1988 iaitu pada 33 tahun yang lalu sesuai kedudukannya sebagai imam Harakah Islamiyah.
Menurut beliau, usaha Tuan Guru itu tidak hanya di Malaysia, bahkan juga di peringkat antarabangsa di mana tindakan diambilnya adalah dari rantaian ilmu sahih pada sudut Harakah Islamiyah dengan sanad yang betul.
“Justeru beliau sangat memahami akan perjalanan sesebuah Harakah Islamiyah. Dan beliau mempunyai pengalaman yang panjang tentang liku-liku dan cabaran serta sifat-sifat yang mengelirukan daripada niat-niat yang menyimpang dalam medan perjuangan siyasah ini.
“Dan kita perlu fahami bahawa ciri-ciri kepimpinan itu mestilah memiliki aqliyah as siyasiyah yang mana hanya terhasil daripada pengalaman yang panjang. Jika seseorang itu berilmu, tetapi pengalamannya singkat, pendapatnya lazimnnya tidak tepat.
“Maka perlu pada pandangan orang yang mempunyai pengalaman yang panjang walaupun kadang-kadang ilmunnya terbatas apatah lagi jika ilmunya mendalam seperti Tuan Guru Presiden yang kita cintai,” ujarnya.
Beliau berucap membahas Ucapan Dasar Presiden PAS bertemakan ‘Islam Menyatukan Ummah’ dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini sebentar tadi.
PAS katanya, adalah parti politik berpengalaman dalam jakinan muafakat politik sejak dahulu, antaranya mengadakan hubungan dengan Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1988 hingga 1996, selain Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor pernah menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK).
“PAS juga pernah bersama dengan DAP, PKN dan juga PRM yang telah menubuhkan Barisan Alternatif pada tahun 1999 dan barisan pembangkang untuk menghadapi Barisan Nasional ketika itu.
“Perjalanan panjang jika kita baca sejarah ini semula daripada dulu sehingga kini, maka PAS tidak pernah, tidak pernah terasing daripada mana-mana pakatan, mana-mana persefahaman, mana-mana kerjasama politik yang dilakukan daripada dulu hingga kini.
“Dan terkini PAS telah mengadakan satu pakatan politik yang baru bersama dengan Umno pada tahun 2019 setelah parti Melayu itu tewas dalam PRU ke 14. Pakatan ini dikenali sebagai Muafakat Nasional yang bertujuan untuk membentuk penyatuan bagi mengukuhkan politik Melayu,” ujarnya.
Beliau turut mengimbau kejayaan muafakat politik yang dibuat hingga dapat menjatuhkan Pakatan Harapan dan membentuk gabungan Perikatan Nasional mengambil alih dan memimpin kerajaan baharu sejak Mac 2020.

Perwakilan Sidang As-Sabiqun, Dr Zuraini Hashim terdahulu dalam ucapannya menyebut mengenai kesatuan dan perdamaian politik diadakan PAS sejak tahun 50-an apabila bersama Parti Negara dan tahun 1973 hingga 1978 bersama Parti Perikatan dan Barisan Nasional.
Manakala pada tahun 1990 katanya, bersama Angkatan Perpaduan Ummah dan tahun 1999 bersama Barisan Alternatif dan Perikatan Rakyat, seterunya bermula tahun 2020 dengan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.
“Itu semua memberi kebaikan dan kemenangan kepada Islam. Manakala kita juga mengalami pahit ya di mana tahun 70-an di mana kita berpecah sehingga akhirnya timbul parti-parti serpihan. Dan akhirnya jatuh Kerajaan Islam Kelantan ya pada tahun 1979.
“Begitu juga tahun 2018 Pakatan Harapan dapat menguasai disebabkan persengketaan kita. Dan dari segi dalaman pula, tahun 2015 ya sebahagian pemimpin PAS mereka keluar daripada parti. Itu antara saat saat pahit,” imbaunya. – HARAKAHDAILY 6/11/2021




















