
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melalui Akademi Pilihan Raya (APR) menggunakan media sosial bagi menggalakkan pengundi 18 tahun keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata antara aplikasi media sosial yang menjadi platform ialah Facebook, YouTube, Instagram, Twitter dan TikTok yang ketika ini merupakan trend anak muda.
Katanya, sebanyak 152 program Pengundi Secara Maya diadakan dengan 50,858 jumlah tontonan.
“Pendekatan secara maya, terutama platform media sosial adalah antara usaha APR melaksanakan Program Pendidikan Pengundi (Voter Education-VE) bagi mendekati golongan muda dan masih diteruskan sehingga kini.
“Program ini bertujuan untuk memberi kefahaman terhadap proses pilihan raya di negara ini, selain menjawab isu-isu yang sering dibangkitkan ketika pillihan raya,” katanya ketika menjawab soalan lisan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai).
Abdul Latiff meminta kerajaan menyatakan langkah yang diambil oleh SPR untuk memastikan pengundi 18 tahun akan keluar mengundi pada PRU nanti
Melalui kesedaran dan kefahaman berhubung proses demokrasi dan pilihan raya, Dr Wan Junaidi berkata, kerajaan berharap mereka akan menunaikan tanggungjawab untuk keluar mengundi ketika pilihan raya.
Beliau berkata, sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan, APR memperkenalkan Program Pendidikan Pengundi Secara Maya sebagai alternatif pelaksanaan Program Pendidikan Pengundi yang dilaksanakan secara bersemuka sebelum pandemik berlaku.
Setakat 30 September lalu, katanya APR melaksanakan Program Pendidikan Pengundi bersama beberapa institusi pengajian tinggi secara bersemuka dengan mematuhi ketetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) melibatkan penyertaan seramai 2,740 orang pelajar. – HARAKAHDAILY 3/11/21




















