
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
TUMPAT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama buat julung-julung kalinya dengan pemilik bot persendirian di negeri-negeri yang terbabit dengan banjir bagi membantu operasi menyelamat mangsa banjir.
Mazlan berkata, langkah mengesan dan mengkoordinasi pemilik-pemilik bot dalam kalangan penduduk setempat itu akan diuruskan oleh ketua-ketua polis di setiap daerah terlibat.
Menurutnya, kerjasama antara pasukan penyelamat dan pemilik bot tempatan itu diperlukan kerana mereka lebih arif berkaitan selok-belok kawasan masing-masing.
“Kehadiran mereka diharap dapat memudahkan urusan menyelamat, sementelah mereka lebih berpengetahuan tentang lokasi yang berlaku banjir.
“Sekiranya ada urusan menyelamat, ia menjadi lebih mudah dengan adanya kerjasama penduduk tempatan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk setempat yang mempunyai bot supaya mendaftar dengan pihaknya bermula sekarang.
Perkara itu diumumkan Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Seri Mazlan Lazim selepas lawatan kerjanya ke Kelantan dan tinjauan sempadan Malaysia-Thailand Op Benteng di Sungai Golok, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun dan pegawai kanan PDRM.
Mengulas mengenai persiapan banjir di Kelantan beliau memberitahu, setakat ini kekuatan tenaga pegawai dan anggota mencukupi.
“Begitu juga dengan aset yang diperlukan sewaktu berdepan dengan bencana banjir juga mencukupi,” jelasnya.
Menurutnya lagi, PDRM akan mengetuai operasi menyelamat mangsa banjir dengan membina 200 pangkalan hadapan apabila berlaku banjir di Kelantan.
“Sejumlah 653 pasukan juga ditugaskan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/11/2021




















