
GLASGOW: Perdana Menteri India, Narendra Modi mengumumkan negara itu akan mencapai pelepasan karbon dioksida sifar bersih menjelang 2070, satu daripada lima ikrar yang dibuatnya semasa ucapannya pada sidang kemuncak pemimpin Persidangan Perundingan Iklim ke-26 (COP26) pada hari ini.
Modi berkata, India akan komited untuk meningkatkan kapasiti tenaga bukan bahan api fosil, memenuhi 50 peratus keperluan tenaganya dengan tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak satu juta tan dan mengurangkan keamatan karbon daripada sektor ekonominya menjelang tahun 2030.
“Lima ikrar ini akan menjadi sumbangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dari India ke arah tindakan bagi memulihara iklim global,” kata Modi menurut laporan ABC News.
India telah menjadi salah satu negara di bawah tekanan untuk mengemas kini komitmennya kepada Perjanjian Paris, terutamanya kerana kebergantungan negara itu kepada arang batu.
India menyumbang sekitar tujuh peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global yang mengancam keselamatan masa depan dunia dengan mencetuskan fenomena pemanasan global.
Perjanjian Paris tertakluk di bawah naungan Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) yang menangani isu pelepasan gas rumah hijau dan mitigasi (usaha untuk mengurangkan risiko bencana).
Perjanjian tersebut yang lahir daripada Persidangan Perundingan Iklim ke-21 (COP21) ke UNFCCC yang diadakan pada 30 November hingga 12 Disember 2015 di Paris dengan matlamat agar kesan pemanasan global dikurangkan hingga maksimum 2 darjah Celcius menjelang tahun 2100.
Modi dijadualkan mengumumkan inisiatif tenaga bersih global bersama-sama Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden esok. – HARAKAHDAILY 1/11/2021




















