Upah tinggi tarik rakyat cari kerja luar negara

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Tarikan upah yang tinggi dengan gaji minimum ASD$20.33 (RM84.28) sejam di Australia dan USD$8 (RM33.16) di Korea Selatan adalah antara punca utama menarik pencari kerja tempatan bekerja di dua negara berkenaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim, berkata sudah menjadi kelaziman, tarikan gaji yang tinggi di luar negara, terutama di negara maju merupakan antara tarikan utama rakyat Malaysia sanggup bekerja di luar negara.

- Advertisement -

Pada masa sama, katanya kerajaan menyedari mengenai masalah eksploitasi terhadap rakyat Malaysia yang ingin bekerja di luar negara.

Bagi mengatasi masalah ini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246) memperuntukkan mana-mana syarikat yang ingin menjalankan aktiviti merekrut pencari kerja tempatan untuk bekerja di luar negara perlu memperolehi lesen kategori B atau C.

“Akta 246 turut memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh menjalankan aktiviti merekrut melainkan jika telah diberikan suatu lesen di bawah akta tersebut,” katanya menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (PN-Tasek Gelugor) di sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Awang berkata, melalui peruntukan itu, semua agensi pekerjaan swasta yang berlesen hendaklah menjalankan aktiviti merekrut secara sah sama ada di dalam atau di luar negara.

Sehubungan itu, katanya pencari kerja tempatan yang berhasrat untuk bekerja di luar negara dinasihatkan menggunakan perkhidmatan agensi pekerjaan swasta yang berlesen di bawah KSM.

“Setakat ini, tiada aduan terhadap agensi pekerjaan swasta yang berlesen di bawah Akta 246 melakukan eksploitasi terhadap pekerja tempatan yang bekerja di luar negara.

“Mana-mana orang yang melanggar peruntukan ini apabila disabitkan melakukan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Menjawab soalan tambahan, katanya kerajaan juga menggunakan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran atau ATIPSOM 2007 yang berkuat kuasa pada tahun 2008 untuk menangani kegiatan penyeludupan orang, sama ada memasuki negara ini atau ke negara lain.

Selaras dengan penggubalan Akta ATIPSOM, katanya kerajaan juga menubuhkan Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) yang antara lain bagi menyelaraskan pelaksanaan Akta ATIPSOM.

“Melalui Pelan Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran, tindakan bersepadu dilakukan melalui kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Jabatan Tenaga Kerja, melalui operasi bersepadu dan risikan,” katanya.

Selain itu, katanya KSM menjalankan kajian mengenai penyeludupan bukan sahaja membabitkan imigran tetapi rakyat yang keluar negara serta bekerjasama dengan agensi antarabangsa seperti Australia-Asia Program to Combat Trafficking in Persons (AAPTIP). – HARAKAHDAILY 1/11/21

- Advertisement -