Tidak berubah haluan ketika mentor tinggalkan PAS

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

PORT DICKSON: Walaupun selama 11 tahun bersama kepimpinan bekas-bekas Ketua Dewan Pemuda PAS pada era Dato’ Salahudin Ayub dan Dato’ Mahfuz Omar, Senator Ir Sr Khairil Nizam Khirudin, tidak pernah berubah haluan perjuangan.

Katanya, beliau pernah tidur di pejabat Dewan Pemuda PAS di Taman Melewar, ketika peringkat awal penglibatan bersama Pemuda PAS.

- Advertisement -

“Malah ketika itu dapat ambil gambar bersamanya sudah cukup gembira. Namun malangnya pemikiran pimpinan mereka sudah berubah sehingga meninggalkan wadah perjuangan PAS, namun saya tidak terikut-ikut tindakan mereka.

“Mereka sudah berubah, jadi kita berdoa semoga kita terus kekal bersama perjuangan PAS,” katanya pada ucapan terakhir di Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kali ke-62 di Corus Paradise Resort di sini, hari ini.

Salahuddin dan Mahfuz, biarpun dikenali sebagai pemimpin kerana lama terbabit dengan PAS, namun akhirnya meninggalkan parti itu selepas usaha kumpulan tertentu mencabar kepimpinan ulama gagal pada muktamar sebelum ini.

Khairul Nizam juga berkata, beliau tidak sangka sehingga dilantik sebagai Ketua Pemuda DPPM, yang merupakan sayap penting dalam PAS.

“Saya mengetuai DPPM bagi sesi 2019 sehingga 2021 mengantikan Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

“Saya mengakui pengalaman bersama beberapa kepimpinan dahulu mematangkan pemikiran. Mentor saya sebelum ini, Dr Riduan Mohd Nor, sekarang dilantik sebagai Pengerusi Tetap DPPM bagi sesi ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/10/21

- Advertisement -