Muslimat perlu jadi juara selesaikan isu semasa

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Muslimat PAS perlu bergerak lebih aktif dan menonjol untuk menangani serta menjuarai pelbagai isu semasa yang berlaku di negara ini.

Naib Ketua Muslimat PAS Sarawak, Dayangku Huda Ahmad, berkata gerak kerja muslimat sekarang lebih banyak berfokus kepada isu kebajikan dalam masyarakat, terutama ketika musim pandemik Covid-19 sekarang.

- Advertisement -

Katanya, usaha ini boleh diperhebatkan dengan muslimat menerajui komponen siasah yang merupakan antara hala tuju teras kepada perjuangan PAS.

“Kemahiran muslimat PAS merungkaikan isu semasa berdasarkan perspektif Islam amat perlu ditambah baik, dibina secara konsisten dan diketengahkan di khalayak umum. Ini supaya masyarakat tidak hanya melihat kumpulan lain yang dominan menyuarakan sesuatu isu.

“Hakikatnya keahlian kumpulan tersebut sangat kecil, berbanding Muslimat PAS. Sebagai contoh, kumpulan Sister In Islam (SIS) yang dilihat aktif mengetengahkan pelbagai isu berkaitan hak asasi, seolah-olah mereka mempunyai ahli yang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia Ke-61 secara dalam talian, hari ini.

Dayangku Huda berkata, Muslimat PAS perlu mengambil peluang mengemukakan isu serta penyelesaian bagi membantu masyarakat.

Sehubungan itu, katanya muslimat perlu menguasai kemahiran advokasi untuk menangani dan menjuarai isu semasa secara berkesan.

Katanya, advokasi adalah proses politik oleh individu atau kelompok yang bertujuan untuk mempengaruhi keputusan umum dan peruntukan sumber daya dalam sistem dan institusi politik, ekonomi dan sosial.

“Advokasi boleh merangkumi banyak aktiviti yang dilakukan oleh seseorang atau organisasi, termasuk kempen media, percakapan awam, pentauliahan dan penerbitan penyelidikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/21

- Advertisement -