
Oleh NORHANA MAT ZIN
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat terpanggil untuk mengisi ruang 30 peratus sama ada sebagai pembuat dasar atau calon wanita dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, dasar yang menggalakkan wanita menguasai 30 peratus jawatan pembuat keputusan masih berada di tahap kurang memuaskan.
Kata beliau usaha itu bagi melaksanakan taklifan menjadi khalifah yang memakmurkan bumi seperti yang dinyatakan Allah SWT.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah: 30, maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.
”Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?” Dia berfirman, “Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
Oleh itu menurut beliau, kepimpinan muslimat perlu memainkan peranan untuk mempertahankan Islam daripada gerakan wanita sekular dan liberal yang bertentangan dengan prinsip Islam.
Kata beliau kefahaman itu menimbulkan kekeliruan hak asasi yang tidak berfaedah.
Namun begitu, usaha tersebut belum dapat dijayakan dengan sebaiknya kerana kerajaan belum mewujudkan rancangan yang konkrit bagi meningkatkan kehadiran penjawat awam wanita di jabatan-jabatan awam dan swasta.
“Kecaknaan muslimat dan sifat prihatin mereka terhadap isu-isu semasa yang dideritai oleh kaum wanita memberi kekuatan kepada kepimpinan muslimat untuk berjuang memartabatkan wanita sebagaimana yang dikehendaki Islam,” katanya.
Nuridah juga berkata, Dewan Muslimat tidak mendukung perjuangan emansipasi (pembebasan) wanita yang menuntut kesamarataan gender tanpa asas yang dibenarkan syara’ syaqaiqiurrijal (wanita saudara kandung lelaki).
Katanya, muslimat dibenarkan aktif di dalam bidang politik dan pemerintahan sama ada di peringkat parlimen, Dewan Undangan Negeri (Dun) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Dalam ucapan tersebut, beliau berkata muslimat perlu menggembeling tenaga bagi memartabatkan Islam bagi memastikan kesejahteraan Islam dinikmati kaum wanita dan seluruh masyarakat.
“Salah satu ruang untuk melaksanakan gerak kerja medan terbaik yang terbuka luas dalam menggalas tanggungjawab bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/21




















