
Oleh FAIZAH ARBAIN
SANDAKAN: Sahar Abdul Majid telah mengekalkan dominasinya apabila telah menang tanpa bertanding sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Sandakan dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang berlangsung semalam secara hibrid.
Turut menang tanpa bertanding ialah Timbalan Yang Dipertua, Samsul Rizal dan Naib Yang Dipertua, Saifullah Abdul Rahman.
Mengulas pemilihan tersebut, Sahar berharap gabungan kepimpinan yang baharu dan lama ini akan memberi sentuhan segar kepada ahli dan parti, seterusnya di terima oleh rakyat Sandakan dan Sabah amnya.
Terdahulu dalam ucaptama Sahar menyarankan, agar PAS kekal bersifat inklusif agar rakyat sabah mudah menerima pendekatan PAS sekaligus meraikan kepelbagaian kaum yang ada di negeri ini.
“PAS kawasan juga akan cuba mengadakan konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) bagi mengukuhkan sayap parti itu, selain mengukuhkan jentera parti dan memperkasakan tarbiyah dan dakwah di Sandakan, serta menguatkan lajnah lainnya,” katanya.
Dalam mesyuarat tersebut, turut diisi dengan tayangan montaj aktiviti PAS kawasan Sandakan sepanjang tahun yang disediakan oleh Lajnah IT dan Media, selain mendengar ucapan perasmian secara maya daripada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. -HARAKAHDAILY 18/10/2021




















