Era transisi endemik: Orang ramai jangan leka

- Advertisement -

Oleh  KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa  berhati-berhati, memiliki perasaan bimbang dengan keadaan sekeliling dan tidak leka dalam meneruskan perjalanan masing-masing menempuh rutin kehidupan seharian dalam era transisi endemik ketika ini.

Pensyarah dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mohamed berkata, era transisi endemik menyaksikan manusia hidup bersama-sama virus Covid-19 dengan melalui pelbagai transit, dan seterusnya proses peralihan ke fasa endemik. 

- Advertisement -

Menurut beliau, dalam menjayakan transisi endemik, orang ramai perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan bagi mengelakkan berlaku pertambahan semula kes jangkitan baharu Covid-19.

Katanya, pada ketika ini, Malaysia sedang dalam proses transisi atau peralihan dari fasa pandemik Covid-19 ke fasa seterusnya iaitu fasa endemik.  

“Sebagaimana semua sedia maklum fasa ini menuntut rakyat Malaysia untuk memahami bahawa kita terpaksa menerima hakikat yang kita bakal hidup bersama virus Covid-19,” ujarnya.

Lebih-lebih lagi, kata beliau, pada ketika ini kerajaan telah membenarkan rentas negeri dan penamatan MyTravelPass, serta sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi pula bakal dibuka semula. 

“Justeru, kesemua kelonggaran ini akan kita lihat kesannya dalam tempoh beberapa bulan akan datang khususnya sama ada akan  berlaku peningkatan semula kes baharu Covid-19 ataupun tidak,” katanya dalam Fokus Biz: Menjayakan Transisi Endemik menerusi  segmen Biz Malaysia yang disiarkan melalui saluran TV1 RTM hari ini.

Di samping itu katanya, sehingga 12 Oktober 2021, didapati bahawa vaksinasi lengkap dua dos dalam kalangan populasi rakyat dewasa Malaysia telah mencecah lebih  90 peratus iaitu 90.6  peratus.

“Namun kita dapati mutakhir ini bahawa jangkitan (baharu Covid-19) tidak berterusan trend penurunan bahkan ia berlaku naik dan turun pada ketika tertentu.

“Sehubungan itu, setiap orang sewajarnya memahami risiko transisi  ini dan pentingnya untuk mengelakkan perkara-perkara yang boleh meningkatkan risiko jangkitan itu sendiri,” katanya. -HARAKAHDAILY 15/10/2021

- Advertisement -