
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Johor meletakkan harapan tinggi agar ulau Batu Puteh atau Pedra Branca kembali menjadi hak Malaysia sebagai satu realiti, bukan sekadar sentimen politik.
Ketua Pemuda PAS Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, pihaknya memberi sokongan penuh terhadap usaha kerajaan untuk menubuhkan sebuah pasukan khas bagi semakan semula undang-undang membabitkan pulau berkenaan.
“Dewan Pemuda PAS Johor memberikan sokongan penuh agar usaha baik untuk menuntut semula Pulau Batu Puteh ini menjadi realiti dan bukan sekadar semakan perundangan.
“Pulau Batu Puteh adalah sebahagian dari Johor dan juga Malaysia, penting untuk kita pelihara. Kami amat mengalukan dan menghargai tindakan kerajaan untuk meneruskan semakan semula,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.
Ahmad Nawfal juga berharap penubuhan pasukan khas itu akan mempersiapkan segala perincian penting seperti maklumat yang kukuh dan terperinci supaya pulau tersebut tidak lagi terlepas pada tangan pihak lain.
“Pulau Batu Puteh adalah sebahagian daripada Malaysia, dan ini adalah soal tanah air kita. Saya tidak harap kesilapan lama berulang apabila pulau ini terlepas kepada pihak lain akibat daripada kesilapan kita sendiri.
“Walaupun ia berada dalam negeri Johor, tetapi hakikat yang lebih besar ia adalah tanah bumi Malaysia itu sendiri,” tegasnya.
Pada Sabtu lalu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yakaob mengumumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi semakan semula undang-undang berkenaan kes pulau berkenaan.
Perkara tersebut menurut Ismail Sabri, adalah bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.
Pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali. Jemaah Menteri juga membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah ‘Tort of Misfeasance‘.
Tindakan undang-undang ‘Tort of Mosfeasance’ itu akan dibuat ke atas pihak yang didapati melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.
Pada tahun 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.
Selain kes Pulau Batu Puteh, mesyuarat Kabinet juga memutuskan untuk memfokuskan siasatan dua kes berkepentingan lain melibatkan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan siasatan mengenai dakwaan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas. – HARAKAHDAILY 11/10/2021




















