
PUTRAJAYA: Sebanyak 1.7 juta kekosongan jawatan telah diiklankan dan sebanyak 270,358 jawatan dalam kategori aktif untuk dipadankan dengan pencari kerja melalui data Portal Pekerjaan MYFutureJobs setakat 1 Oktober lalu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, daripada bilangan tersebut, 223,870 kekosongan berjaya diisi, manakala sebanyak 46,488 kekosongan jawatan aktif masih lagi terbuka untuk tujuan pemadanan.
Menurutnya, semakan ke atas data kekosongan jawatan adalah mendapati kekosongan jawatan yang ditawarkan sebahagian besar adalah dari bidang tidak memerlukan kemahiran atau dari kategori jawatan berkemahiran rendah.
“Mengambil kira faktor kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi negara dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19, Kerajaan telah memperkenalkan Program Insentif Penggantian Jawatan Pekerjaan Asing yang ditawarkan kepada perkerja tempatan atau lebih dikenali sebagai Malaysianization bagi menggalakkan pengambilan tenaga kerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Tambahnya, melalui program itu, pekerja layak menerima insentif tambahan sebanyak RM500 atau 20 peratus daripada gaji bulanan (yang mana lebih tinggi).
Sebagai contoh, ujar beliau sekiranya tawaran gaji adalah RM1,500 pekerja akan diberi insentif RM500 menjadikan jumlah gaji kasar sebanyak RM2,000.
Katanya, had kelayakan insentif itu telah ditetapkan kepada pemberian gaji pekerja pada paras minimum RM1,500 bagi majikan yang menyertai program tersebut.
Selanjutnya, jelas beliau, pada tahun 2021 kerajaan telah menambahbaik insentif Malaysianization melalui pakej PEMULIH dengan mengurangkan had kelayakan insentif daripada paras gaji RM1,500 kepada RM1,200 agar dapat mendorong majikan untuk menyertai program itu terutamanya majikan daripada kategori kecil dan sederhana.
“Dengan pengurangan had kelayakan ini, pekerja yang menerima gaji sebanyak RM1,200 akan turut mendapat manfaat insentif tambahan RM500 atau 20 peratus daripada gaji bulanan yang ditawarkan.
“Harapan saya agar pernyataan ini akan dapat menjelaskan isu yang timbul lanjut daripada sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada tempoh hari,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pendang.
Beliau juga menekankan bahawa pernyataan yang diberikan tidak bersangkut paut dengan penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM1,200 sebulan melalui Perintah Gaji Minimum 2020 yang masih lagi sedang berkuatkuasa. – HARAKAHDAILY 9/10/2021




















