
Oleh KAIROL ZULHAIDI dan SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Orang ramai menyambut baik hasrat Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengehadkan penjualan arak di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina di ibu negara.
Dalam tinjauan HarakahDaily sekitar ibu kota di Kuala Lumpur mendapati, rata-rata orang ramai menyokong hasrat kerajaan yang merupakan satu langkah yang terbaik bagi mengekang pelbagai impak yang negatif.
Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Mohd Shawani Ahmad Sabri, 34 berkata,hasrat kerajaan untuk mengehadkan penjualan arak di ibu negara merupakan cadangan yang baik bagi mengekang semua masalah berkaitan penggunaan alkohol yang tidak terkawal.
Menurutnya, kerajaan perlu melaksanakan tindakan yang lebih tegas terhadap penjualan arak seperti mengehadkan penjualan arak dengan mewujudkan garis panduan penjualan yang lebih baik dan jelas.
“Pada pandangan saya, penjualan arak secara terbuka dan tanpa ada sebarang sekatan banyak membuka ruang kepada pelbagai tindakan luar kawalan. Kita perlu melihat dalam skop yang lebih meluas antaranya dari segi tempoh masa jualan, perintah larangan minum di kawasan awam dan garis panduan penjualan.
“Had jualan bukan bermaksud tiada jualan langsung tetapi ada garis panduan tertentu yang perlu dipatuhi. Ini perlu dijelaskan dan dinilai dengan baik. Seperkara lagi adalah ruang atau kawasan jualan. Bila ada had tertentu, ia bermaksud perlu mempunyai ruang tertentu dan tidak lagi secara terbuka. Saya kira ini adalah langkah berkesan bagi mengurangkan masalah lain yang lebih besar,” katanya.
Tambah Shawani, Islam mempunyai garis panduan yang jelas menyatakan tentang pengharaman arak.
“Cuma dari sudut mengehadkan penjualan arak ini, saya lebih suka melihat dari skop yang lebih luas. Sensitiviti agama dan hal berkaitan agama adalah jelas. Isu arak dalam Islam sudah jelas tentang hukum pengharamannya. Jadi tidak timbul isu ini kepada umat Islam untuk dipersoalkan,” katanya.
Menurutnya lagi, dalam isu berkenaan, dia lebih melihat kepada keperluan menjaga maslahat semua pihak termasuk bukan Islam.
“Garis panduan jelas akan membantu dan secara tidak langsung mengawal masalah lain yang sukar dikawal. Had jualan arak perlu hadir bersama garis panduan jelas, dan pelaksanaan yang tidak tergesa-gesa tetapi dengan perancangan yang menjamin keseluruhan masyarakat,” ujarnya.
Sementara menurut penjawat awam, Azly Nordin, 32, pula, dia menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk mengehadkan penjualan arak kerana kesan daripada pengambilan arak amat buruk bukan sahaja kepada individu malahan kepada masyarakat dan negara.

“Sekarang ini, kita sering mendengar kes-kes pemandu mabuk yang melanggar orang sehingga mengakibatkan kecederaan yang serius dan juga kematian. Maka, hasrat kerajaan tersebut dapat mengekang daripada berlaku kes pemandu mabuk yang memandu dalam keadaan bahaya.
“Kerajaan perlu mengenakan hukuman yang lebih tegas dan setimpal kepada pemandu mabuk ini kerana banyak nyawa yang tidak berdosa telah terkorban disebabkan oleh mereka. Semua ini berpunca daripada penjualan arak secara berleluasa di negara ini,” katanya kepada HarakahDaily.
Dalam pada itu, pekerja bank, Ahfa Amatkasih, 32, berkata, masyarakat Malaysia yang lebih sihat dan bebas dari sebarang arak dapat diwujudkan daripada usaha kerajaan untuk mengehadkan penjualan arak.
Menurutnya, sudah banyak kes tentang kejadian menyayat hati yang telah meragut banyak nyawa akibat daripada sikap pemandu mabuk dan pelbagai kisah sedih tentang mereka yang kehilangan orang tersayang yang menjadi mangsa sikap pemandu mabuk terpampang di media sosial. Justeru, hasrat murni kerajaan itu merupakan langkah terbaik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini itu berulang kembali.

“Walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk, negara ini mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi. Peniaga arak mungkin boleh beralih kepada perniagaan yang lain dan bukan hanya fokus kepada perniagaan arak sahaja.
“Kerajaan bukan mengharamkan penjualan arak tetapi mengehadkan penjualan arak. Ini bertujuan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Hanya beberapa perniagaan tertentu dibenarkan menjual arak jadi saya tidak melihat ia sebagai isu yang besar,” ujarnya.
Katanya lagi, sebagai negara majoriti rakyatnya orang Islam, gejala minum arak tidak seharusnya berlaku, terutama dalam kalangan umat Islam. Ketegasan Islam mengharamkan arak adalah kerana ia membawa mudarat seperti kehilangan kewarasan seterusnya akan mewujudkan masalah yang lebih besar seperti kemalangan jalan raya, masalah kesihatan dan masalah keluarga.
Sementara itu, bagi pengarah perniagaan, M Loganathan, 39, kawalan terhadap penjualan arak di Wilayah Persekutuan sebagaimana hasrat kerajaan tersebut adalah suatu usaha yang penting.
Katanya, dia tidak menentang pengambilan minuman keras itu, dan dia sendiri mengambilnya secara berkala.
Namun menurut Loganathan, tindakan mengawal penjualan arak di negara ini adalah wajar memandangkan berdasarkan pemerhatiannya, banyak anak muda rosak akhlak disebabkan minuman keras itu, selain hilang adab dalam diri mereka.
“Setakat yang saya perasan, saya rasa minuman keras memang ada dijual di mana-mana sahaja.
“Saya minum (arak) secara berkala, walaupun saya orang seni, saya mempunyai prinsip sendiri untuk tidak merosakkan reputasi saya,” katanya.

Tambah Loganathan, minuman keras perlu dijual mengikut prosedur operasi standard (SOP) khusus memandangkan banyak penjualan secara haram berlaku.
Katanya, jualan arak palsu juga perlu ditangani kerajaan disebabkan kesan buruk dari penjualan arak palsu itu telah menyebabkan ramai menjadi mangsa.
“Arak palsu ini telah menyebabkan berlakunya perkara yang tidak diingini sehingga memberi kesan buruk kepada peminum dan orang lain selepas pengambilannya.
“Saya lihat, mereka yang memilih untuk meminum arak sebenar masih dalam keadaan baik pada pemerhatian saya,” katanya.
Menurut Loganathan, arak haram telah dicampur bahan kimia dan tentunya tidak baik untuk kesihatan peminum selain mempunyai kesan seperti mengambil dadah.
Katanya lagi, pengambilan arak haram itu mesti dihentikan pengambilannya dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memantau penjualannya.
“Orang famai sangat tertarik dengan sesuatu yang memberi kesan buruk, dan tidak kepada perkara yang memberi kesan positif,” katanya.
“Justeru, kerajaan perlu memainkan peranan penting bagi menangani perkata tersebut menyediakan satu pelan untuk menangani dan mengimbangi isu arak berkenaan,” ujarnya.
Terdahulu, Hasrat Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengehadkan penjualan arak di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina di ibu negara menjadi hangat di Dewan Rakyat.
Ketika sesi pertanyaan menteri, Teresa Kok (PH-Seputeh) menganggap tindakan tersebut adalah tidak adil kepada pengusaha kedai bukan Islam di Kuala Lumpur.
Kata-kata Teresa mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan Ahli Parlimen terutamanya dari PAS yang bangun dan membidas kenyataan beliau. – HARAKAHDAILY 8/10/2021




















