
KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan melaksanakan lebih banyak libat urus sebelum menguatkuasakan larangan jual arak secara meluas di Wilayah Persekutuan.
Menterinya, Dato’ Seri Shahidan Kassim, berkata beliau mahu memastikan penguatkuasaan peraturan itu dalam situasi menang-menang antara penjual dan pengguna.
“Kita hendak fikir kesan orang yang hendak beli dan bukannya fikir masalah dihadapi penjual.
“Apabila jualan arak didapati dengan mudah dan meluas, ia secara tidak langsung boleh mendorong anak-anak muda mendapatnya.
“Jadi kita cuba elak kebolehan mendapat arak secara meluas di banyak tempat. Peraturan itu bukan hendak larang orang bukan Islam minum arak,” katanya menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) ketika sesi pertanyaan soalan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini ketika mengemukakan soalan tambahan, Teresa Kok (DAP-Seputih) tidak mahu kerajaan melarang kedai ubat Cina menjual arak.
Katanya, jika Kementerian Wilayah Persekutuan melarang jualan arak di kedai ubat Cina akan menyebabkan muncul jualan arak dalam talian secara haram.
Malah, ketika itu ramai Ahli Parlimen DAP, termasuk dari Bagan, Lim Guan Eng, cuba mempertikaikan peraturan tersebut.
Tahun lepas, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, memaklumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober tahun ini sebagai muktamad.
Menurutnya, DBKL memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras, antaranya menetapkan kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober 2021.
Manakala dalam perkembangan lain, petang semalam, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali, mencadangkan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, menjelaskan perkara sebenar berkaitan tuduhan Ahli Parlimen DAP terhadapnya.
Katanya, kenyataan Teresa Kok tidak berasas apabila melakukan tohmahan terhadapnya sepanjang menerajui kementerian terbabit sebelum ini.
Malah, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato’ Willie Mongin, kesal terhadap dakwaan kenyataan Ahli Parlimen DAP terbabit yang dianggap menghina bekas menteri.
Ketika itu, persidangan Dewan Rakyat, panas seketika sehingga ada pemimpin DAP lain mengeluarkan perkataan menghina timbalan menteri terbabit.
Ahli Parlimen Seputeh sebelum itu dalam ucapannya dilihat cuba memperlekehkan peranan menteri pada era kerajaan Perikatan Nasional. – HARAKAHDAILY 7/10/21




















