Pengusahasilan balak berdasar Catuan Tebangan Tahunan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tohmahan yang dibuat berkaitan negeri tertentu yang meluluskan tebangan melebihi kouta ditetapkan kerajaan perlu dibuktikan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengusahasilan yang dibuat adalah berdasar pelaksanaan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) mengikut negeri.

- Advertisement -

“Sekiranya ada dakwaan mengatakan ada negeri termasuk Kelantan menebang balak melebihi kuota ditetapkan ia perlu dibuktikan dan bukan berdasar laporan media sahaja,” katanya menjawab pencelahan Teresa Kok (DAP-Seputih) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum itu beliau menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dalam Sidang Dewan Rakyat.

Pemimpin DAP itu ketika mencelah mendakwa terdapat laporan mengatakan Kelantan melulus tebangan balak melebihi kuota ditetapkan kerajaan.

Malah pada tahun lepas Timbalan Menteri KetSA Dato’ Ali Bicu memberitahu tiada negeri yang menjalankan aktiviti pembalakan tambahan kuota yang ditetapkan.

Menurutnya Jabatan Perhutanan Negeri mengambil tindakan termasuk menyedia, melaksana dan memantau aktiviti tersebut.

Kata beliau pihaknya menguatkuasakan perundangan perhutanan dan aktiviti penguatkuasaan yang disatukan bersama agensi penguatkuasaan lain seperti risikan dan rondaan kawasan hotspot.

Selain itu pemantauan udara kawasan berhutan dengan menggunakan helikopter dan dron bagi memantau lokasi pembalakan haram.

Beliau juga berkata, jumlah CTT berkurang bagi setiap Rancangan Malaysia. – HARAKAHDAILY 6/10/2021

- Advertisement -