ADUN Bersatu terlibat komplot digugur keahlian serta-merta

Wan Saiful Wan Jan
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan berkompromi dengan sikap ahlinya yang terlibat dalam komplot menjatuhkan kerajaan di Melaka dan ADUN parti tersebut yang terlibat dengan komplot berkenaan digugurkan keahliannya serta-merta, kata Ketua Penerangan Bersatu, Dato’ Wan Saiful Wan Jan.

Menurutnya, tindakan yang dilakukan ADUN Bersatu yang terlibat dalam menjatuhkan kerajaan Melaka itu adalah satu perkara yang tidak patut dilakukan oleh mana-mana ADUN parti berkenaan.

- Advertisement -

“Dalam hal ini, kita tegas dan saya berasa kesal dengan situasi politik di Melaka. Ia tidak wajar berlaku ketika negara sedang fokus kepada krisis akibat  pandemik Covid-19.

“Ini menunjukkan mereka (ADUN terbabit) yang hendak menjatuhkan kerajaan sebelum ini tidak berkongsi sengsara yang dialami rakyat ketika ini,” tegas beliau kepada HarakahDaily ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Yap Kwan Seng di sini, hari ini.

Isu berkenaan, katanya, tidak sepatutnya berlaku, namun beliau yakin, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam akan membuat keputusan yang terbaik untuk kerajaan negeri.

“Saya juga berharap Umno dapat menyelesaikan masalah dalaman mereka dan tidak membiarkan masalah itu menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap ahli politik,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka disahkan terbubar selepas Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu.

Sulaiman hilang majoriti selepas empat ADUN, terdiri daripada Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) menarik sokongan mereka. – HARAKAHDAILY 5/10/2021

- Advertisement -