
Oleh ZULKEFLI HUSSIN
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bakal menjalankan siasatan di sebalik beberapa kes penipuan dari dalam negara yang membabitkan pemalsuan dokumen seperti lesen dan bot diklonkan, pengeluaran pasport dan buku pelaut, sama ada ia turut membabitkan sindiket dalam kalangan rakyat tempatan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya juga bercadang untuk memberi sagu hati kepada pengusaha bot tempatan yang memberi maklumat tentang pencerobohan bot nelayan asing dengan memberi gambar atau video bot, posisi dan nombor pendaftaran yang digunakan.
Menurut beliau, sebelum ini pihaknya hanya menerima laporan dari media sosial khususnya Facebook yang memaparkan pencerobohan bot nelayan asing itu dengan menuduh pihak Maritim Malaysia tidak melakukan tangkapan.
“Tuduhan itu tidak adil kerana tidak memberi maklumat yang tepat selain pencerobohan berlaku sejak beberapa hari lepas,” ujarnya.
Sehubungan Mohd Zubir memberitahu, melalui Operasi Kuda Laut, pihaknya telah berjaya menahan sejumlah 139 bot nelayan asing di perairan seluruh negara dengan nilai rampasan RM272 juta bermula 24 Jun lepas sehingga sekarang.
Operasi berkenaan katanya, akan diteruskan sehingga agensi tersebut mendapat jaminan daripada negara-negara terbabit terutamanya Vietnam kerana hampir 90 peratus nelayan yang ditahan merupakan rakyat negara berkenaan.
“Operasi Kuda Laut akan dilaksanakan secara berterusan sehingga kami berasa puas hati tiada lagi pencerobohan atau sehingga kita dapat berkomunikasi dengan pihak berkuasa Vietnam secara rasmi,” katanya selepas mengakhiri rondaan operasi di perairan Pantai Timur dengan pesawat Bombardier CL 4i5 di Pusat Tahanan Vesel Maritim Kelantan di Tok Bali di sini, hari ini.
Menurutnya, kejayaan operasi itu jelas apabila sepanjang rondaan di perairan bermula dari Johor ke Kelantan dengan pesawat yang boleh mengesan bot nelayan asing yang didapati tidak lagi kelihatan, selain tiga hingga empat kapal Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan.
Beliau berkata, sebelum operasi khas itu dilancarkan negara mengalami kerugian besar disebabkan hasil kekayaan hasil laut negara dirompak oleh bot-bot nelayan asing setiap tahun.
Katanya, pada 2018 Jabatan Perikanan Malaysia mengeluarkan kenyataan negara mengalami kerugian RM6 bilion setahun akibat kecurian ikan, manakala pada 2019 mengalami RM4.5 bilion setahun.
“Ini menunjukkan satu kejayaan yang besar sehingga dapat mengurangkan dan membendung kecurian yang berleluasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/2021




















