
KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) yang dijangka meningkatkan kadar hukuman terhadap penjenayah alam sekitar akan dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun depan.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman, berkata draf pindaan AKAS 1974 akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara untuk kelulusan.
Katanya, AKAS 1974 peringkat satu sudah siap dan telah dikemukakan kepada Penasihat Undang-Undang (PUU) Kementerian Alam Sekitar (KASA) untuk tindakan selanjutnya dan ulasan.
“Pindaan itu kemudian dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk kelulusan dan kita jangka akan dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun depan,” katanya menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) di Dewan Rakyat, hari ini.
Pindaan terhadap AKAS 1974 dijangka bukan sahaja meningkatkan denda maksimum, malah mengenakan denda minimum bagi memastikan hukuman setimpal dikenakan ke atas penjenayah alam sekitar.
Menjawab soalan lisan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit), Mansor berkata KASA melaksanakan pelbagai tindakan untuk memberikan pendidikan serta kesedaran mengenai kelestarian sungai bagi memastikan kualiti air sungai terjamin.
Katanya, ini termasuk memperkenalkan Program Pembangunan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) yang merupakan antara pendekatan berasaskan alam semula jadi bagi menangani masalah pembuangan sisa secara haram.
“DSK berperanan meningkatkan cakna masyarakat terhadap keindahan sungai, meramaikan pengunjung tepian sungai untuk riadah dan secara tidak langsung boleh menghindari aktiviti pembuangan sisa haram.
“Usaha pendidikan lain termasuk penubuhan Rakan Alam Sekitar (157,000 ahli), sekolah lestari dan kampus hijau di peringkat Institusi Pengajian Tinggi,” katanya.
Beliau berkata, KASA melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kejadian pencemaran sungai tidak berulang.
Katanya, antara langkah berkenaan ialah mempertingkatkan penguatkuasaan AKAS 1974 dengan memfokuskan penguatkuasaan terhadap premis yang menghasilkan efluen perindustrian dan terletak di hulu takat pengambilan air.
Selain itu, katanya program penguatkuasaan berfokus kepada industri yang mempunyai risiko menyebabkan pencemaran melalui pelaksanaan operasi khas seperti Ops Gempur dan melaksanakan operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan terhadap punca yang dikenal pasti bermasalah.
“Pemantauan juga dibuat melalui rondaan dan dron di kawasan sasaran serta mengadakan libat urus, termasuk memberi pendedahan dan latihan kawalan pencemaran air dengan konsep Total Maximum Daily Load (TMDL) kepada semua agensi pemegang taruh yang terlibat dalam pengurusan sumber air di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri,” katanya.
Beliau yakin usaha bersama itu dapat mengawal punca pencemaran air yang tertakluk di bawah kementerian, jabatan dan agensi masing-masing. – HARAKAHDAILY 30/9/21




















