Isu rusuhan di Salak Selatan: Hormati kedaulatan undang-undang

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Isu rusuhan berhampiran sebuah tokong di Salak Selatan, Jalan Sungai Besi, Cheras pada Selasa lepas, melibatkan kira-kira 30 individu dilaporkan menyerang anggota polis yang bertugas di lokasi kejadian perlu dilihat dari aspek perundangan.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Azhar Yahya berkata, tindakan kasar dan ganas terhadap penjawat awam yang menjalankan tugas akan mencalarkan imej pengurusan tokong terbabit.

- Advertisement -

Katanya, kumpulan yang merusuh sepatutnya berbincang terlebih dahulu dan bertolak ansur.

“Kami difahamkan tokong tersebut tidak didirikan di atas tanah milik mereka. Berdasar maklumat permohonan tanah yang dikemukakan semenjak tahun 2017 tidak diluluskan memandangkan pihak kerajaan mempunyai perancangan untuk pembangunan pusat pendidikan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Muhammad Idzam Jaafar dalam kenyataaannya kelmarin, menafikan rusuhan di Salak Selatan berpunca daripada tindakan untuk merobohkan sebuah tokong  di lokasi kejadian.

Sebaliknya, kejadian yang berlaku pada jam 11.45 pagi hingga 4 petang itu ketika kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) membuat operasi untuk membina pagar penghadang bagi membina jalan laluan ke sekolah yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

Dalam operasi berkenaan, anggota Polis IPD Cheras hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi yang dijalankan.

Bagaimanapun kira-kira 30 lelaki dan perempuan berbangsa Cina datang ke lokasi kejadian dengan membawa kayu dan besi. – HARAKAHDAILY 30/9/2021

- Advertisement -