
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Empat lelaki berusia antara 19 hingga 50 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan melibatkan 30 individu yang bertindak menghalang dan menyerang anggota polis di Salak Selatan, Cheras di sini pada Selasa.
Sehubungan itu, polis menafikan kes yang disiasat di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 18 Kanun Keseksaan tersebut berpunca daripada tindakan untuk merobohkan sebuah tokong berhampiran lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Cheras, Muhammad Idzam Jaafar, berkata kejadian yang berlaku pada jam 11.45 pagi hingga 4 petang itu adalah ketika Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) membuat operasi untuk membina pagar penghadang.
Menurutnya, PTG membuat pagar penghadang untuk membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah.
“Dalam operasi tersebut, pihak Polis IPD Cheras telah hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi yang dijalankan.
“Semasa operasi sedang dijalankan, terdapat lebih kurang 30 orang lelaki dan perempuan berbangsa Cina membawa kayu dan besi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut Muhammad Idzam, kumpulan itu telah bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas di lokasi kejadian.
Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial menunjukkan berlaku kekecohan sekumpulan individu dan pihak polis.
Video tersebut memaparkan beberapa individu memukul jentolak dan menyerang polis menggunakan kayu.
Katanya lagi, video berkenaan telah dimuat naik di laman Facebook bagi tujuan meraih simpati dan dieksploitasi.
Justeru, Muhammad Idzam menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam.
“Pihak Polis Daerah cheras menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Mohamad Sukri Ishak, di talian 013-216 5881 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/9/2021




















