Beri perhatian terhadap golongan M40 yang tergelincir

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, meminta kerajaan memberi perhatian terhadap golongan M40 yang tergelincir menjadi B40 apabila pendapatan mereka terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Beliau berkata, keadaan ini membimbangkan kerana hampir 20 peratus daripada 580,000 isi rumah golongan M40 tergelincir ke dalam golongan B40.

- Advertisement -

Katanya, sekurang-kurang lapan peratus isi rumah memperlihatkan penurunan pendapatan yang membawa kepada peningkatan kemiskinan apabila bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 640,000 isi rumah pada tahun 2020 berbanding 405,000 isi rumah pada tahun 2019.

“Data penurunan golongan M40 kepada B40 perlu diperhalusi dengan lebih terperinci bagi membolehkan kerajaan memahami keadaan yang ditanggung oleh isi rumah M40.

“Ini termasuk melihat komposisi dan profil isi rumah yang terjejas dari segi lokasi tempat tinggal, profil pekerjaan dan komitmen yang mereka tanggung bagi memastikan bantuan yang diberikan lebih fokus,” katanya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

M40 atau Pertengahan 40 (Middle 40) adalah kumpulan isi rumah pertengahan yang berpendapatan seisi rumah dengan purata bulanan antara RM4,851 hingga RM10,970. B40 pula dikenali sebagai Terendah 40 (Bottom 40) adalah kumpulan isi rumah terendah dengan berpendapatan seisi rumah dengan purata bulanan di bawah RM4,850.

Shaharizukirnain berkata, jika dahulu orang mencuri barang berharga seperti televisyen, tetapi hari ini barang yang dicuri ialah ubat dan barangan keperluan asas akibat terdesak untuk meneruskan kehidupan, tetapi keadaan negatif ini menjadi trend dalam masyarakat akibat kesempatan hidup.

Beliau meminta kerajaan menjelaskan secara terperinci pelan tindakan yang akan diambil dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat.

Sementara itu, katanya dalam usaha membantu usahawan Bumiputera B40, mencadangkan lebih banyak bantuan dalam bentuk geran diberikan kepada mereka, berbanding bentuk pembiayaan atau pinjaman.

“Ini kerana sebahagian besar usahawan berkenaan tidak mahukan pinjaman atau pembiayaan kerana bimbang tidak mampu membayar balik,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/9/21

- Advertisement -