Jumlah pelaburan separuh tahun ini meningkat 69.8 peratus

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM107.5 bilion berjaya mencatat lonjakan ketara menarik pelaburan sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pelaburan antara Januari hingga Jun lalu, meliputi sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama, mencatatkan peningkatan sebanyak 69.8 peratus berbanding RM63.3 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

- Advertisement -

Daripada jumlah pelaburan itu, katanya pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak 58.1 peratus atau RM62.5 bilion berbanding RM19.8 bilion bagi tempoh yang sama tahun 2020.

“Pelaburan langsung domestik (DDI) pula menyumbang sebanyak 41.9 peratus atau RM45.1 bilion. Pelaburan ini melibatkan 2,110 projek dan dijangka mewujudkan hampir 45,000 peluang pekerjaan baharu,” katanya menjawab soalan lisan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun), Dato’ Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Sabri Azit (PAS-Jerai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, sektor perkilangan mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu RM58.2 bilion (93.1 peratus) daripada jumlah kelulusan FDI, manakala sektor perkhidmatan dan utama, masing-masing mencatatkan pelaburan sebanyak RM2.16 bilion (3.5 peratus) dan RM2.15 bilion (3.4 peratus).

Sehubungan itu, katanya kerajaan akan terus mengambil tiga pendekatan utama untuk mencerdaskan ekonomi negara, iaitu melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebagai pemangkin untuk membuka semula ekonomi secara selamat dan bersistematik.

“Sebagai langkah tambahan memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja, MITI menerajui pelaksanaan Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang bertujuan mempertingkatkan kadar vaksinasi pekerja sektor pembuatan.

“Sehingga 25 September 2021, sebanyak 1.06 juta pekerja telah diberi temu janji di bawah PIKAS dengan 1,000,826 pekerja telah diberikan dos pertama, manakala 899,626 pekerja mendapat imunisasi penuh,” katanya.

Bagi pendekatan kedua, katanya kerajaan melaksanakan dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus, serta mesra perniagaan, termasuk usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan bagi meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Mohamed Azmin berkata, pendekatan ketiga pula, negara akan terus menyasarkan pelaburan berkualiti tinggi, berorientasikan teknologi termaju, berpandukan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang turut memberi fokus kepada kelestarian jangka masa panjang, dengan menekankan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Katanya, kerajaan juga akan memfokuskan kepada sektor pertumbuhan ekonomi baharu yang dikenal pasti seperti ekonomi digital, halal dan aeroangkasa.

Sementara itu, katanya pembaharuan kepada agenda pelaburan melibatkan lima teras utama, iaitu meningkatkan kompleksiti ekonomi, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi; memperluaskan rangkaian domestik; membangunkan kluster baharu dan sedia ada serta mempertingkatkan keterangkuman.

Beliau berkata, NIA akan memberi fokus kepada sektor yang mempunyai potensi ekonomi yang signifikan dan lestari dalam jangka masa panjang, dengan penekanan yang lebih terhadap elemen ESG.

Dalam mengoperasikan usaha ini, katanya kerajaan antara lain akan memberi keutamaan kepada pembangunan industri pengeluaran kenderaan Cekap Tenaga (EEV) termasuk kenderaan elektrik (EV) dengan menggariskan beberapa inisiatif khusus bagi memperkukuhkan ekosistem EV.

Katanya, ini termasuk pembuatan komponen kritikal, penetapan standard bagi menyokong ekosistem EV dan mengalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan untuk membangunkan teknologi. – HARAKAHDAILY 27/9/21

- Advertisement -