Lebih 1 juta keluarga terima manfaat Program Bakul Makanan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1.1 juta keluarga di seluruh negara menerima manfaat Program Bakul Makanan sejak Mac 2020 hingga Julai lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata perbelanjaan yang diperuntukkan untuk program kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula sebanyak RM106.8 juta.

- Advertisement -

Katanya, sebanyak RM34.6 juta daripada jumlah itu menggunakan dana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sebanyak RM72.2 juta pula melalui peruntukan Kementerian Kewangan.

“Nilai Bakul Makanan yang diagihkan pada Fasa 1, iaitu pada Mac 2020 adalah RM50, manakala fasa seterusnya bernilai RM100.

“Bagi tempoh sama, Sabah menerima peruntukan RM13.5 juta yang memberi manfaat kepada 138,340 keluarga,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) di Dewan Rakyat, hari ini.

Siti Zailah berkata, pemberian Bakul Makanan tidak terhad kepada golongan miskin di bawah JKM, tetapi diagihkan kepada rakyat yang terkesan dan memerlukan bantuan sepanjang pandemik Covid-19.

Katanya, Program Bakul Makanan merupakan inisiatif keprihatinan kerajaan untuk memastikan rakyat yang terkesan sepanjang pandemik Covid-19 mendapat bantuan, sekali gus dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka. – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -